Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan kenyataan aktivis Mind Pro Management berhubung kes penipuan umrah membabitkan Hejira Travel & Tours Holding Sdn. Bhd. memberi gambaran seolah-olah tiada siasatan dilakukan olehnya.

Sedangkan, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Sehubungan itu, jelas beliau, kenyataan oleh aktivis itu tidak benar, tidak bertanggungjawab dan memberi persepsi buruk kepada PDRM.

“Perlu diketahui undang-undang negara ini memperuntukkan kuasa siasatan yang berbeza kepada agensi penguatkuasa yang berlainan justeru, kesalahan termaktub di dalam undang-undang tertentu hendaklah disiasat agensi yang dipertanggungjawabkan agar tindakan yang lebih tepat serta sesuai dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, dalam sidang medianya, Penasihat Undang-Undang dan aktivitis Mind Pro Management, Ena Awil telah menyuarakan rasa tidak puas hati selepas mendapati siasatan terhadap kes berkenaan diklasifikasi sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) tanpa tindakan lanjut.

Dakwanya, tindakan berkenaan adalah tidak wajar memandangkan elemen penipuan jelas berlaku dan seharusnya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta denda bagi kesalahan menipu dan memperdaya.

“Sehubungan itu, saya mendesak pihak berkuasa untuk membuka semula siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit mengikut Seksyen 420,” kata Ena dalam sidang media tersebut.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sehingga 7 Februari lalu, pihaknya menerima 141 laporan polis terhadap Hejira Travel & Tours melibatkan kerugian RM3,015,412 dan siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.

Menurut beliau, memandangkan syarikat pengendali umrah ini adalah berdaftar dan dilesenkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjalankan aktiviti umrah dari tahun 2023 sehingga mac 2027, sebahagian laporan polis turut dirujuk kepada kementerian itu sebagai agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

Namun, siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan tetap diteruskan walaupun sebahagian laporan polis ini dirujuk kepada MOTAC. – MalaysiaGazette

Peguam desak kes penipuan umrah disiasat bawah Kanun Keseksaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here