Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki ditangkap selepas menetak seorang lelaki di Jalan Wong Ah Fook, Bandaraya Johor Bahru, Selasa lalu

JOHOR BAHRU – Suspek tukag besi yang terlibat dalam pergaduhan dan menetak seorang lelaki lain di pusat bandar ini Selasa lalu, akan dituduh di mahkamah di sini esok.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.

“Kelmarin, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Johor dan kita memperoleh arahan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan akan dibuat esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang besi itu beralamat di Batu Caves, Selangor dan mempunyai lapan rekod lampau.

Bagaimanapun katanya, semua lapan kes suspek yang membabitkan Akta Penagih Dadah 1983 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 dari 2013 hingga 2020 itu sudah selesai.

Selasa lalu, satu kejadian gaduh hingga mendatangkan kecederaan yang mana mangsa seorang lelaki cedera ditetak dilaporkan berlaku berhampiran Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini.

Kejadian berkenaan tular dalam media sosial yang mana suspek dalam kejadian itu berjaya ditangkap di tempat kejadian sebelum direman tujuh hari sehingga Selasa.

Raub dilaporkan berkata, mangsa dan suspek ketika kejadian tetak itu berada dalam keadaan mabuk.

Katanya, kedua-dua mereka saling tidak mengenali dan sedang meminum minuman keras di kawasan lokasi kejadian sebelum dilaporkan bergaduh mulut hingga membawa kepada kejadian tetak itu.

Mangsa adalah penganggur warga tempatan berusia 43 tahun dan akibat kejadian itu, mangsa parah di bahagian kepala dipercayai ditetak dengan senjata tajam.

Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu.

Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia positif methaphetamine.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here