KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyelar pandangan beberapa pihak yang mencadangkan supaya jawatan Presiden Pas yang kini disandang oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang digantikan kepada individu lain menjelang pemilihan parti itu hujung tahun ini.
Menyifatkan cadangan itu sebagai `lucu’, Ketua Dewan Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia dibuat dalam kedaaan Pas berada pada waktu terbaik daripada segi pencapaian politik termasuk mempunyai jumlah kerusi paling banyak di Dewan Rakyat serta menjadi kerajaan di empat buah negeri.
Tambahnya, cadangan supaya pemimpin utama parti itu ditukar sepatutnya ditujukan kepada UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang prestasinya lebih buruk pada pilihan raya umum lalu.
Lebih mengejutkan, ujarnya, walaupun dengan prestasi buruk itu, UMNO telah meluluskan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, manakala PKR perlu berkira-kira untuk melakukan perkara sama pada pemilihan parti tersebut akan datang.
“Dapat markah rendah (prestasi buruk pilihan raya umum), tapi tak mahu tukar kepala. Ini yang patut penganalisis itu buat analisis dan kritik.
“Jauh berbeza dengan Pas, walaupun Pas dapat markah tinggi dalam pilihan raya, Pas masih terbuka, membuka ruang kepada mana-mana ahli untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
“Tidak pernah ada usul supaya kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas mengenai pandangan pemerhati politik tempatan yang disiarkan menerusi portal sebuah media tempatan yang mencadangkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon yang paling sesuai untuk memimpin parti itu selepas Abdul Hadi.
Pandangan itu turut menyebut Abdul Hadi dilihat sudah tidak relevan untuk terus mempertahankan jawatan yang disandang dalam parti sejak tahun 2005.
Ini kerana menurut pandangan itu, arus politik pada masa kini menuntut seorang pemimpin yang kritikal dengan persekitaran semasa.
Sementara itu, Afnan Hamimi turut mengingatkan kepada para penganalisis supaya memberi pandangan berdasarkan nilai akademik dan objektiviti yang adil.
“Orang lebih hormat penganalisis begitu berbanding penganalisis yang cari makan, analisis ikut tuan yang bagi makan,” katanya.
Dalam hantaran serupa, beliau turut menyentuh mengenai cabaran Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) kepada beliau untuk berdialog secara terbuka mengenai beberapa isu melibatkan kepentingan umat Islam di Malaysia.
“Parti Amanah? Itu saya tak bincang. Dengar kata, sayap pemuda mereka lebih senang berdialog dengan pasu bunga. Silakan. Itu paling layak dengan mereka,” katanya sinis. – MalaysiaGazette