KUALA LUMPUR – Cadangan mewajibkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan semula sebelum boleh memperbaharui cukai jalan disifatkan tidak berasas.
Apatah lagi, kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, kerajaan tidak pernah mengeluarkan data peratusan kemalangan melibatkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas untuk diwajibkan pemeriksaan tersebut.
Tegas beliau, melainkan kenderaan berat dan yang melibatkan pengangkutan awam, cadangan itu hanya akan membebankan rakyat.
“Saya harap kerajaan tidak melaksanakan cadangan dari MP Kerajaan ini. Secara ‘KEBETULAN’, ia dicadang selepas PUSPAKOM ada pesaing yang diumumkan sendiri oleh kerajaan. Sudah tentu, ada kerja, ada lah keuntungan….,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah supaya kenderaan berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan secara mandatori sebelum dibenarkan untuk memperbaharui cukai jalan.
Jimmy ketika sidang Dewan Rakyat berkata, cadangan itu memandangkan kenderaan lama kebiasaannya sering mengalami kerosakan di atas jalan sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas selain membahayakan pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette