KUALA LUMPUR – Dua beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah di Taman Harmoni, Seri Kembangan, Selangor Khamis lalu ditemui selamat di kawasan Gombak, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dua kanak-kanak berusia 10 dan 15 tahun itu ditemukan dalam keadaan selamat dan kini sudah pulang ke pangkuan keluarga.
“Wanita terbabit sudah mengambil kedua-dua anaknya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu usaha pencarian mangsa.
Terdahulu, media melaporkan, dua beradik dilaporkan hilang selepas keluar rumah di sebuah pangsapuri di Taman Harmoni, Seri Kembangan, pada Khamis lalu.
Polis menerima laporan kehilangan pasangan adik-beradik terbabit daripada ibu mereka pada 2.48 pagi Jumaat.
Nur Syafiqah Elliana Muhammad Rizuan Sebastian berusia 15 tahun, kali terakhir dilihat memakai baju dan seluar tracksuit gelap serta berselipar ungu.
Manakala adik lelakinya Muhammad Adam Mikhail Muhammad Rizuan Sebastian berusia 10 tahun yang turut hilang mempunyai bentuk fizikal badan kecil dan berambut pendek.- MalaysiaGazette