JASIN – Jenazah wanita hamil lima bulan bersama empat anaknya yang rentung dalam kebakaran pada 13 Februari lalu dijangka dikebumikan petang ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, urusan tuntutan jenazah mereka akan dibuat selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui.
“Jika keputusan DNA diperoleh hari ini, insya-Allah jenazah akan diuruskan segera untuk urusan pengebumian,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini.
Jenazah empat beranak itu ialah Laila Fathinah Mustapa, 37, bersama empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13, Izz Daffa Hafizuddin,7, Nur Dalilah Khadijah,6 dan Izz Danish Fathi, 4 tahun.
Lebih menyayat hati, Laila Fathinah sedang mengandung lima bulan anak ketujuhnya.
Artikel berkaitan: Litar pintas disyaki punca 5 sekeluarga rentung
Wanita rentung bersama empat anak hamil lima bulan
Lima rentung termasuk empat kanak-kanak perempuan di Umbai Melaka
Sementara itu, kakak ipar mangsa, Nur Saadah Sa’ari, 37, ketika dihubungi berkata, dia diberitahu jenazah akan dituntut dari Hospital Jasin seawal kira-kira 5 petang.
“Saya dimaklumkan sama ada paling awal kesemua jenazah dibenar untuk proses tuntutan bagi urusan pengebumian sama ada selepas Asar atau paling lewat sesudah Maghrib (7.30 malam).
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan buat kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, solat jenazah lima beranak itu akan diadakan di Masjid Baiturrahman Kampung Berangan Enam, Umbai di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Hj Johari Bakar kampung sama.
Lima beranak itu rentung selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi.
Tragedi pilu itu turut menyebabkan suami Laila Fathinah cedera.
Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35 yang patah kaki akibat terlibat nahas jalan raya pada 30 Januari lalu adalah satu-satunya ahli keluarga dalam rumah tersebut yang terselamat apabila isterinya sempat memintanya merangkak keluar menyelamatkan diri. – MalaysiaGazette