Terowong ECRL Gombak sepanjang 959 meter bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai kejayaan penembusan dan menjadikan terowong ECRL yang ke 36 telah selesai bagi kerja pengorekan ketika di Kampung Batu 12 Gombak, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kabinet telah meluluskan cadangan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk mengubah skop pembinaan daripada landasan tunggal dwi tolok kepada landasan berkembar yang melibatkan jajaran dari Stesen Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Utara (Northport) dan Pelabuhan Barat (Westports) sepanjang 25 kilometer.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kos pembinaan landasan berkembar atau lebih dikenali sebagai Seksyen D, tidak memerlukan peruntukan tambahan oleh pihak kerajaan serta tidak akan meningkatkan kos pembangunan keseluruhan projek ECRL.

“Bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel kargo serta kecekapan pengangkutan rel ke Northport dan Westports, Kabinet telah bersetuju untuk membina landasan berkembar, yang merangkumi landasan tolok standard baharu bagi perkhidmatan ECRL serta mengekalkan landasan tolok meter sedia ada bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Perubahan skop kepada landasan berkembar ini dijangka memberikan impak besar dengan membolehkan perkhidmatan KTMB dan ECRL beroperasi secara bebas tanpa bergantung antara satu sama lain,” katanya dalam siding media di sini hari ini.

Jelas Loke, perubahan ini akan meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel kargo ke Northport dan Westports secara keseluruhan serta memperkukuhkan kecekapan industri perdagangan import-eksport negara apabila projek ini siap sepenuhnya.

Untuk pembinaan landasan ini, MRL selaku pemilik Projek ECRL, dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sebagai kontraktor utama, akan mengeluarkan maklumat tender secara terperinci pada penghujung bulan Februari 2025, dengan keutamaan diberikan kepada kontraktor bumiputera yang berkelayakan dan berpengalaman dalam industri rel.

Anggaran kos pembinaan projek ECRL setelah ditambah skop baharu di Seksyen D adalah lebih rendah berbanding kos pembinaan projek ECRL yang dimeterai pada tahun 2017, yang mana jajaran ECRL pada masa itu hanya berakhir di Stesen Jalan Kastam tanpa penyambungan ke Northport dan Westports.

Jelasnya, jajaran Seksyen D ini turut memainkan peranan strategik dengan melengkapkan “jambatan darat” atau “landbridge” yang menghubungkan pelabuhan-pelabuhan di Pantai Timur dengan pelabuhan-pelabuhan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia melalui ECRL, sekali gus
mengoptimumkan penggunaan kereta api untuk pengangkutan kargo bagi kedua-dua perkhidmatan ECRL dan KTMB.

Di samping itu, ia juga dapat memastikan kesalinghubungan yang lancar antara yad di Pelabuhan Kuantan dengan yad di Northport dan Westports masing-masing di Pelabuhan Klang melalui ECRL, dan meningkatkan kecekapan operasi KTMB melalui penggunaan Pintasan Serendah untuk sampai ke yad-yad di Pelabuhan Klang.

Secara umumnya, pemindahan cara pengangkutan kargo daripada menggunakan jalan raya kepada rel melalui jajaran Pintasan Serendah-Pelabuhan Klang dan jajaran tambahan ke Northport dan Westports akan mengurangkan kesesakan jalan raya, kemalangan, dan pencemaran alam sekitar memandangkan pengangkutan rel kargo akan menurunkan bilangan lori dan kenderaan berat di jalan raya.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijadualkan siap pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.

Manakala sambungan jajaran rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here