SEOUL- Pelakon wanita Kim Sae-ron dilaporkan sedang membuat persiapan untuk kembali ke dunia seni sebelum ditemukan meninggal dunia di kediamannya, semalam.
Menurut sumber, aktres yang popular sejak zaman kanak-kanak itu baru sahaja menyelesaikan projek pengambaran filem bertajuk Guitar Man, akhir tahun lalu.
Projek berkenaan dikatakan sedang memasuki tahap pasca-penerbitan.
“Saya sangat terkejut apabila mendengar berita kematiannya.
“Dia berkata mahu bekerja dan terus menghasilkan wang setelah melakukan ‘comeback’ menerusi filem Guitar Man,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan.
Menurut sumber terbabit, kali terakhir dia bertemu Sae-ron adalah pada akhir tahun lalu.
Tambahnya, aktres berusia 24 tahun itu berkongsi pelbagai perancangan terbaharu untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Ini termasuk perancangannya untuk membuka sebuah kafe selain kembali ke industri hiburan.
Kim Sae-ron ditemukan meninggal dunia di rumahnya di kawasan Seongdong, Seoul, Korea Selatan pada Ahad.
Menurut kenyataan polis, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam lima petang waktu tempatan selepas rakan Sae-ron datang ke rumah artis berkenaan untuk bertemunya.
Sae-ron mula mencipta nama pada usia yang sangat muda pada tahun 2009 selepas membintangi drama-drama seperti Hi! School-Love On dan Listern to My Heart.
Bagaimanapun kerjayanya musnah apabila beliau terlibat dalam kejadian memandu dalam keadaan mabuk pada Mei 2022 sehingga didenda 20 juta won (RM61,546).
Kali terakhir wajahnya muncul di layar kaca adalah menerusi Netflix Series The Hellbounds, pada 2023.- Agensi