KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kerana gagal memahami maksud sebenar yang dibuatnya sebelum ini.
Beliau atau lebih dikenali sebagai Maza berkata, kenyataan yang dibuat beliau turut disokong beberapa individu beragama Hindu lain yang menganggap Rayer bertindak melampaui batas.
“Saya hairan bagaimana dalam negara ini yang Bahasa Melayu adalah bahasa utama, masih ada Ahli Parlimen yang tidak memahami bahasa dengan baik.
“Di mana bahagian kenyataan saya yang menghina agama beliau? Tujuan kenyataan itu adalah untuk menegaskan bahawa semua pihak tidak seharusnya campur tangan dalam urusan agama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maza turut menegaskan, sepatutnya Rayer yang memohon maaf atas banyak kenyataan melibatkan umat Islam sebelum ini.
“Saya berharap kerajaan tidak memberikan sebarang jawatan kepadanya kerana tindakannya hanya menimbulkan provokasi dalam masyarakat majmuk negara ini serta menunjukkan kegagalan memahami bahasa utama negara,” tegasnya.
Beliau turut memberi contoh mudah mengenai salah faham tersebut dengan menyatakan jika seseorang berkata, ‘Jangan bertanya saya orang mana, seperti mana saya tidak pernah bertanya siapa nama ayah awak,’ lalu individu itu berasa dihina, ini menunjukkan sama ada dia menganggap ayahnya sesuatu yang hina sedangkan tidak dihina atau dia gagal memahami maksud sebenar kenyataan itu.
“Dalam kedua-dua keadaan, ia menunjukkan tahap pemahaman yang rendah dan bukanlah sesuatu yang sepatutnya ada pada wakil rakyat yang dipilih oleh masyarakat yang cerdik,” tambahnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: