Oplus_16908288

MELAKA – Seorang pensyarah universiti awam warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki, tahun lalu.

Tertuduh, M. Rezaul Karim, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Berdasarkan dua pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua penuntut lelaki berusia 23 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan dengan cara menyentuh dan mencubit kemaluan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di dalam bilik sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.15 pagi dan 2.30 pagi 24 dan 25 Oktober 2024.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa, Inspektor Norhayati Yusof tidak menawarkan sebarang jaminan namun terpulang kepada budi bicara mahkamah kerana tertuduh adalah warga asing.

Peguam Mohd. Faiezad Razali bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh telah berkahwin dan mempunyai tiga anak serta bekerja sebagai pensyarah kontrak di sebuah universiti awam di Pantai Timur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 bagi kedua–dua pertuduhan dengan dua orang penjamin warga tempatan.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan pasport diserahkan dan menetapkan tarikh 27 Mac depan untuk serahan dokumen.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here