KUANTAN – Suspek kes pembunuhan seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemui di Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis lalu disahkan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan perjudian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek berusia 53 tahun itu juga didapati sering berpindah randah dan tidak mempunyai penempatan tetap.
”Siasatan mendapati suspek sebelum ini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Yahaya, pihaknya turut merakam keterangan beberapa individu termasuk saksi yang melihat mangsa berhampiran sungai dan ahli keluarga bagi membantu siasatan lanjut.
Kelmarin polis menahan seorang lelaki disyaki suspek kes bunuh wanita terbabit di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira pukul 5.30 pagi.
Ia susulan penemuan mayat peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada 13 Februari lalu dengan kesan kecederaan yang menunjukkan unsur jenayah.
Mangsa yang menjalankan perniagaan penghantaran tunai makanan dikatakan keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan kejam tersebut.
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan direman sehingga 21 Februari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan perjudian. – MalaysiaGazette