KUALA LUMPUR – Keberadaan 16 ahli Parlimen kerajaan yang menerima memorandum dengan tiga tuntutan reformasi institusi daripada Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR) membuktikan kerajaan terbuka menerima teguran daripada mahasiswa.
Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Integriti, Governans dan Anti-Rasuah, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya sentiasa mendengar dan prihatin dengan tuntutan mahasiswa serta meraikan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan.
“Hak ini terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan, memang menyebut hak untuk kebebasan bersuara.
“Hak itu tidak pernah terjejas, maka dengan itu saya rasa ruang itu terbuka untuk masing-masing mengemukakan pandangan,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari mewakili kerajaan menerima memorandum tiga tuntutan itu daripada Setiausaha Agung Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KPUIM), Zaim Zulkifli.
Antara tiga tuntutan itu ialah menyegerakan pemisahan pejabat Peguam Negara (AGC) daripada pejabat Pendakwa Raya (OPP) serta memisahkan OPP daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Selain itu, kumpulan mahasiwa itu juga mendesak Perdana Menteri agar menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah badan bebas daripada pengaruh eksekutif.
Manakala tuntutan ketiga pula ialah memperkenalkan Akta Pendanaan Politik (PFA) untuk mengawal selia politik wang dan kewangan parti-parti politik.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim juga berkata, semua tuntutan mahasiswa itu senada dengan usaha kerajaan ketika ini dalam melakukan reformasi institusi.
“Memang ada kesegeraan, ada keperluan untuk melihat supaya dari segi tatakelola, salah guna kuasa itu, masalah rasuah kita dapat banteras dan pastikan kita terkawal.
“Tindakan ini kita sedang lakukan, kita bawa dan kita ada sesi libat urus bersama pihak kerajaan dengan menteri dan lain-lain untuk perkara ini dikedepankan.
“Memorandum ini sebenarnya membantu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta amanah supaya reformasi dapat dilaksanakan,” katanya.
Menurut Syed Ibrahim, Perdana Menteri banyak kali menegaskan sama ada di dalam mahupun luar Dewan Rakyat di mana beliau sedia mendengar dan memberi pandangan mengenai pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Begitu juga dengan kebebasan SPRM dan Akta Pendanaan Politik, semua perkara ini ada dalam perbincangan dan sedang pun dilaksanakan untuk tindakan lanjutan.
“Akhirnya ia memerlukan satu sokongan padu daripada semua pihak sama ada daripada parti politik, mahasiswa, dan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette