GEORGE TOWN – Sebanyak 24 klinik kesihatan di seluruh negeri ini terlibat dalam melaksanakan program pemberian vaksin influenza secara percuma kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik, bermula hari ini.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, sebanyak 4,000 dos vaksin influenza telah diperuntukkan bagi fasa pertama program tersebut di negeri ini.
Jelas beliau, sambutan daripada warga emas terhadap pemberian vaksin percuma ini dilihat mendapat sambutan menggalakkan, dengan beberapa fasiliti kesihatan telah menerima banyak pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera sehingga 28 Mac ini.

“Program vaksinasi ini dijangka akan memberi manfaat besar kepada warga emas yang sering menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, jantung, obesiti, kolesterol tinggi, penyakit buah pinggang kronik, atau penyakit paru-paru kronik.
“Bagaimanapun, situasi influenza dalam negara khsususnya Pulau Pinang masih terkawal dan tiada kes yang membimbangkan, meskipun terdapat kebimbangan selepas insiden kematian seorang artis Taiwan akibat influenza.
“Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera masih dibuka, dan bagi mereka yang sudah membuat janji temu, diharapkan mereka dapat hadir tepat pada waktunya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pemberian vaksin tersebut di Klinik Kesihatan Jalan Macalister, di sini, hari ini.
Pecahan 24 buah klinik yang terlibat untuk program vaksinasi ini adalah tujuh klinik di Daerah Timur Laut, Daerah Barat Daya (3), Seberang Perai Utara (6), Seberang Perai Tengah (6) dan Seberang Perai Selatan (2).
Mengulas lanjut Daniel Gooi menegaskan, bekalan vaksin yang diterima dijangka mencukupi dan dijangka mampu digunakan sepenuhnya sebelum tarikh luput vaksin pada Ogos depan.
“Pihak KKM negeri akan melakukan pemantauan berterusan untuk memastikan tiada masalah bekalan bagi menjayakan program ini.
“Malah, program vaksinasi ini adalah secara sukarela, bukan wajib, dan disarankan bagi golongan berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksin sebagai langkah perlindungan diri,” katanya. – MalaysiaGazette