ISKANDAR PUTERI – Pejabat Operasi Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) di Forest City, Gelang Patah di sini bakal tampil sebagai pengubah keadaan (game changer) dalam landskap pelaburan Johor.
IMFC-J akan menjadi medium terbaik untuk menangani sebarang cabaran dalam usaha menjayakan pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, IMFC-J akan mempercepat dan memudahkan proses kelulusan projek selain mengurangkan kerenah birokrasi.
“Jika dahulu proses kelulusan projek mengambil masa hingga 24 bulan atau lebih, kini ia mampu dipercepat kepada hanya 14 bulan menjadikannya lebih cekap, pantas dan efektif.
“Syukur Alhamdulillah, Johor terus maju dalam merealisasikan agenda JS-SEZ sejak perjanjian ini ditandatangani pada 7 Januari 2025. Satu demi satu langkah strategik kini berjaya dilaksanakan bagi memperkukuh asas ke arah kejayaan JS-SEZ,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pejabat IMFC-J, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Onn Hafiz berkata, perasmian IMFC-J bukan sahaja sebagai satu langkah penting menjayakan inisiatif JS-SEZ, ia jelas mencerminkan keseriusan bukan sekadar ingin menempatkan diri sebagai pemain utama dalam ekonomi serantau tetapi Johor sedang mengorak langkah mendominasi kuasa pelaburan global.
Seiring dengan penubuhan JS-SEZ, katanya, IMFC-J akan merevolusikan landskap pelaburan negeri, mempercepatkan kelulusan projek dan memacu limpahan pelaburan berkualiti tinggi yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di Johor.
“Insya-Allah, kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan akan terus memacu Johor ke hadapan dengan penuh iltizam dan memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi pelaburan utama yang berdaya saing.
“Semoga dengan strategi yang progresif dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, kita akan memperkukuh ekonomi, mencipta lebih banyak peluang serta mengukuhkan kedudukan Johor sebagai kuasa ekonomi serantau! Insya-Allah,” ujarnya. – MalaysiaGazette