Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan dakwaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa seramai 30,000 pekerja kontrak tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditamatkan perkhidmatan pada 12 Februari lalu.

JPA dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah sebenar kakitangan lantikan Contract of Service (CoS) di bawah peruntukan OS29000 yang tidak mempunyai SPM pada tahun lalu hanyalah 2,037 orang.

“Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menetapkan bahawa 14 skim perkhidmatan yang sebelum ini menerima kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingaktan Tiga (PT3) kini dinaik taraf kepada syarat kelayakan minimum SPM.

“Namun, pegawai awam yang berkhidmat menggunakan kelayakan PMR dan PT3 tidak akan ditamatkan serta merta.

“Keputusan ini diambil seiring dengan perubahan dalam sistem pendidikan negara di mana peperiksaan PMR dan PT3 sudah dimansuhkan, jadi SPM adalah tahap pendidikan minimum bagi kelayakan memasuki perkhidmatan awam,” katanya.

Setakat tahun lalu, SPA menerima sebanyak 302,284 permohonan bagi Pembantu Khidmat Am, di mana 186,010 orang memiliki kelayakan SPM.

“Pelantikan baharu dalam sektor kerajaan juga perlu memastikan keseimbangan di antara memenuhi syarat kelayakan perkhidmatan dan memberi peluang kepada calon yang layak.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa lantikan pegawai dalam sektor awam, sama ada secara tetap atau kontrak dilakukan mengikut keperluan semasa agensi berkenaan,” tambahnya.

Sehingga 13 Februari lalu, JPA telah menerima sebanyak 108 permohonan daripada pelbagai agensi untuk kelonggaran syarat skim perkhidmatan bagi melantik semula pegawai kontrak yang tidak memiliki SPM.

Daripada jumlah tersebut, 83 permohonan telah diluluskan, manakala 25 permohonan tidak dapat dipertimbangkan kerana pegawai masih dalam tempoh kontrak atau lantikan sebelum ini tidak teratur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here