Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 SEPTEMBER 2023

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyatakan kata putus berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Muar (Bebas), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu berhenti berteka-teki mengenai peruntukan tersebut dan berterus terang mengenai perkara itu kepada umum.

“Kalau tidak mahu beri peruntukan, cakap sahaja dalam Dewan Rakyat, jangan bermuka-muka di dalam kata lain, di luar kata lain.

“Sebab itu tidak baik, dalam bab ini saya berharap perkara ini perlu ada politik yang matang supaya akhirnya tidak kira dalam kerajaan mahupun pembangkang, nasib rakyat di kawasan kamu akan terbela dan bantuan itu diberikan tidak ikut warna politik.

“Bagaimana nak jadi negara maju bila perkara asas sebegini pun tidak boleh selesaikan walhal sudah dijerit berpuluhan tahun apabila berada di kerusi pembangkang,” katanya ketika pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof namun ia masih belum menunjukkan perkembangan positif.

“Surat demi surat telah dihantar. Lebih 400 hari sudah berlalu tapi bantuan daripada kerajaan ke Parlimen Muar kosong Ringgit,” katanya lagi.

Tahun lalu, Fadillah ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat memberitahu rundingan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang secara individu masih lagi terbuka.

Katanya, rundingan secara kumpulan besar iaitu Perikatan Nasional sudah tertutup namun mengalu-alukan sekiranya ada individu dari blok pembangkang mahu berunding dengan beliau.

Setakat ini, hanya Syed Saddiq memberi maklum balas terhadap surat dan e-mel berkaitan perkara itu yang akan dibincangkan Whip kerajaan.

Malah September tahun lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Hamzah memberitahu, penolakan draf MoU itu dibuat atas empat sebab fundamental kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Sebelum itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan terdapat tujuh syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan dituntut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here