Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperakui usaha Kerajaan Negeri Sarawak menceburi industri minyak dan gas, kerajaan diingatkan memberi hak sama kepada negeri di Pantai Timur.

Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, walaupun langkah itu tidak dipertikaikan namun Perdana Menteri sewajarnya memberi kuasa autonomi sama Kelantan dan Terengganu sebagai pengeluar hasil bumi itu.

“Saya sangat menyokong penuh tanpa pertikaian namun kenapa kerajaan memilih dalam soal seperti ini, mengapa tidak Kelantan dan Terengganu diberikan hak yang sama meskipun tidak mahu atau segan membayar royalti.

“Dalam Perjanjian Petroleum antara negeri-negeri, hak penerokaan diserahkan kepada Petronas pada 1974, perjanjian sama dibuat di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Sabah dan seluruh negeri di Semenanjung.

“Kalau Sarawak boleh diberikan, mewujudkan autonomi tertentu, diwujudkan Petros untuk mendapatkan manfaat lebih daripada hasil petroleum, mengapa Kelantan sampai hari ini dinafikan,” katanya sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja, di Dewan Rakyat hari ini.

Pada sesi penerangan di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

Anwar menjelaskan, hasrat itu termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

DGO apabila dibaca Bersama Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), memperuntukkan bahawa Petros berperanan sebagai agregator di Sarawak.

Ahmad Marzuk juga berkata, Perdana Menteri perlu bersikap adil dalam soal hasil bumi itu, sedangkan beliau perlu mengenang kebaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menganugerahkan “kebebasan” kepada beliau sebelum ini.

“Apakah tidak cukup besar jasa Sultan Kelantan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu yang memberikan pengampunan penuh kepada Ahli Parlimen Tambun sehingga beliau boleh berdiri sebagai seorang Perdana Menteri pada hari ini.

“Maka atas dasar itu saya menuntut supaya diberikan kepada Kelantan seperti mana diberikan kepada Sarawak,” katanya.

Selain itu, Ahmad Marzuk juga mengemukakan beberapa tuntutan termasuklah mengkaji semula Perjanjian Petroleum 1975 dan mengembalikan pembayaran royalti secara langsung kepada Kerajaan Negeri tanpa perantaraan.

“Kerajaan Pusat perlu mewujudkan dasar pembahagian hasil lebih adil agar negeri pengeluar mendapat manfaat yang setimpal.

“Hapuskan amalan diskriminasi terhadap negeri-negeri pembangkang dalam pengagihan sumber hasil asli negara,” katanya.

Ahmad Marzuk juga mengingatkan Perdana Menteri tentang titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menekankan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

“Namun apakah makna kerjasama jika negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah terus dianaktirikan dalam pembahagian peruntukan.

“Kelantan terus dinafikan royalti petroleum walaupun hasil itu dikaut daripada perut buminya tetapi projek infrastruktur lebih banyak tertumpu di negeri-negeri tertentu, seolah-olah hanya satu bahagian negara ini layak terima pembangunan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here