KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan digesa untuk mempertimbangkan semula waktu persekolahan sepanjang bulan Ramadan dan mengeluarkan garis panduan yang lebih fleksibel.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, KPM perlu mengambil kira bebanan termasuk kesuntukan masa yang ditanggung pelajar dan ibu bapa sepanjang bulan Ramadan.
Ketua Bironya, Sin Koon Yen berkata, semasa pentadbiran Perikatan Nasional, KPM membenarkan sesi persekolahan tamat lebih awal sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan persiapan berbuka puasa dan memberi ruang kepada pelajar serta ibu bapa untuk menjalankan ibadah dengan lebih selesa.
Tambah beliau, kenyataan terbaharu daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek seolah-olah mengabaikan keperluan ini.
Katanya, ramai ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, menyatakan bahawa menteri mungkin tidak memahami kesukaran yang dihadapi oleh keluarga biasa.
Ini mungkin kerana beliau mempunyai pembantu rumah dan kemudahan lain yang tidak dimiliki oleh marhaen.
“Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan yang membenarkan sesi petang tamat pada jam 5:30 petang di Semenanjung Malaysia dan 5:00 petang di Sabah, Sarawak, dan Labuan , kenyataan menteri yang mengatakan “kenapa nak tamatkan waktu persekolahan awal, bukan boleh buka puasa pun” menunjukkan kurangnya empati terhadap cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa dan pelajar.
“Hanya ibu bapa mengetahui realiti sebenar waktu mereka dan anak-anak sampai di rumah. Memang betul sekolah tetapkan 5.30 petang tamat sesi persekolahan tetapi kebanyakannya lebih daripada waktu tersebut.
“Malah kebanyakkan ibubapa yang terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas sehingga 1-2 jam menyebabkan mereka biasanya sampai ke rumah pada jam antara 7.30 hingga 8.30 malam.
“Apa maknanya Ramadhan sampai rumah pada waktu demikian?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette