Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain dari 18 hingga 20 Februari 2025 atas jemputan Putera Mahkota Salman bin Hamad AlKhalifa, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain.

Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Bahrain, sekali gus mempamerkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Semasa lawatan ini, Perdana Menteri akan disambut dalam majlis sambutan rasmi dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain.

Kedua-dua Perdana Menteri akan membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan Malaysia-Bahrain, dengan tumpuan kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama dalam sector utama yang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keterjaminan makanan, perbankan Islam, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan.

Selain itu, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan.

Perdana Menteri turut dijadual untuk mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Bahrain untuk mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

Selain itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Shaikh Salman bin Khalifa Al Khalifa, Menteri Kewangan dan Ekonomi Negara Bahrain untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Di sela-sela lawatan ini, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan dalam sesi utama Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslimin. Ucapan tersebut akan menekankan
kepentingan perpaduan umat Islam dalam menghadapi cabaran global semasa.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga akan memanfaatkan lawatan ini untuk memperkukuhkan kerjasama serantau, terutamanya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 yang dijadualkan di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2024, Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM1.19 bilion (AS$0.26 bilion).

Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Bahrain di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-18 terbesar di peringkat global pada tahun 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast