KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan pelbagai isu melibatkan ASEAN dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan di Istana Nurul Iman hari ini.
Turut hadir Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi Kepada Pengerusi ASEAN 2025, Thaksin Shinawatra yang juga bekas Perdana Menteri Thailand.
“Perbincangan kami tentunya terarah kepada Kepengerusian ASEAN 2025 dan peri pentingnya mendapat nasihat dan panduan Paduka Seri Baginda Sultan selaku pemimpin paling senior yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas di kalangan pemimpin ASEAN lain.
“Antara disentuh adalah terkait situasi di Myanmar yang mana walaupun negara itu terikat dengan Konsensus Lima Perkara, namun segala ikhtiar harus digerakkan untuk meneruskan proses penglibatan dengan semua pihak berkepentingan.
“Kami turut membincangkan solusi terbaik untuk mencapai trajektori positif dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar serta memastikan semua Menteri Luar negara ASEAN sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan ini,” katanya dalam kenyataan.
Turut dibincang mengenai pandangan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang dicadangkan selaras dengan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN Januari lalu perlu segera dilaksanakan.
Isu peningkatan masalah yang berpunca daripada ekonomi atau pasaran gelap didominasi oleh penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia serta penipuan dalam talian yang berleluasa juga disentuh.
Perbincangan itu turut bersetuju perlu ada kemajuan diplomatik yang lebih meluas secara multilateral dengan aspirasi agar rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) dapat diselesaikan sesegera mungkin dalam menangani pertikaian di Laut China Selatan,
“Fokus utama juga diberikan kepada cara terbaik untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dan mempertingkatkan kerjasama ekonomi, termasuk keperluan untuk rangka kerja peraturan yang lebih mesra perniagaan dan berkesan.
“Pendekatan strategik dalam hal ini adalah untuk menggalakkan aliran modal yang lebih rancak serta merangsang pertumbuhan serantau yang lebih kukuh demi kemakmuran bersama,” kata Anwar.
Perbincangan turut menyentuh kepentingan membangunkan infrastruktur Blockchain yang betul serta memastikan kebolehcapaian digital sebagai prasyarat utama bagi pembangunan yang sihat dan progresif di rantau ASEAN.-MalaysiaGazette