KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melayan desakan untuk menyiasat apa-apa laporan yang dianggap tiada ada kesalahan.
Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mahu polis di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya menyiasat laporan sekiranya terdapat kesalahan atas sebarang kenyataan individu.
“Jangan sia-siakan masa dan aset polis untuk semata-mata menyiasat kerana ada laporan polis.
“Saya bagi contoh bukan sebab ramai yang buat laporan polis terhadap sesuatu isu, polis pun bertindak. Satu contoh apabila Tan Sri Lim Kit Siang beri pandangan di London, penuntut tanya kepada beliau bolehkah orang bukan Islam jadi Perdana Menteri?
“Kit Siang jawab memang daripada segi undang-undang tidak ada dinyatakan mesti orang Islam (dilantik sebagai Perdana Menteri).
“Apa yang berlaku ialah ramai yang buat laporan polis terhadap beliau, dan polis panggil beliau untuk disiasat. Bagi saya, ia bagi satu pandangan dari segi undang-undang, tidak ada apa-apa kesalahan yang berlaku jadi tidak perlu polis untuk siasat,” katanya ketika pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja, di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 2023 lalu, Kit Siang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berikutan satu laporan polis diterima berkait impian kontroversinya untuk melihat bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Oleh yang demikian Kit Siang disiasat dan hadir memberi keterangan kepada polis untuk membantu siasatan dengan menjawab keseluruhan 27 soalan yang dikemukakan pasukan siasatan.
Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November 2022, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.
Koo Ham pula pada Januari tahun lalu turut mengundang kontroversi dalam kenyataan media tersebut apabila mencadangkan pakar Perlembagaan bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam. – MalaysiaGazette