KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan suspek yang menembak pekerja pembersihan di pasar raya di Setia City Mall, Shah Alam baru-baru ini maut di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam, Klang lebih kurang jam 3 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, suspek maut ditembak dalam satu serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.
“Sewaktu serbuan tersebut, berlaku insiden tembak-menembak antara pasukan polis dengan penjenayah di sebuah bilik hotel.
“Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki tempatan dalam lingkungan umur pertengahan 30-an,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, suspek dipercayai bersembunyi di hotel berkenaan selama dua hari.
Polis turut menemui dua pucuk senjata api berisi peluru bersama suspek.
Jelas beliau, suspek mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun, selain tembakan di pusat beli belah berkenaan.
Pada 8 Febuari lalu, seorang pekerja pembersihan Setia City Mall cedera ditembak seorang lelaki.
Siasatan awal polis mendapati, suspek melepaskan tembakan selepas berang ditegur supaya mengalihkan barang miliknya yang diletakkan di kawasan kejadian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki itu juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah.
Katanya, kes berkenaan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette