KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa warganet yang tidak suka fakta berkaitan ekonomi Malaysia yang disentuhnya dalam Dewan Rakyat semalam supaya mengalihkan kemarahan kepada Bank Dunia.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, fakta yang dibentangkan diambil daripada kajian Bank Dunia pada 2024 bertajuk Is There an Underside to Economic Growth? A Mixed-Methods Analysis of Malaysia.
Katanya, kajian itu jelas membuktikan rakyat Malaysia tidak menikmati kemakmuran ekonomi seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya hairan betul kenapa ramai penyokong tegar Anwar tiba-tiba meroyan sakan, mengamuk tak tentu hala dan koyak rabak di media sosial selepas perbahasan Titah Diraja saya semalam?
“Saya bukan bercakap kosong, bukan main sentimen atau sembang kencang tanpa asas. Saya berhujah dengan fakta, data dan kajian yang diiktiraf.
“Tapi biasalah, bila saya tunjukkan betapa Anwar gagal mentadbir ekonomi dengan sekadar bermain ilusi angka KDNK dan pelaburan berbillion-billion kononnya, tiba-tiba geng-geng penyembah ‘Anwarnomics’ gelabah tak tentu hala,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menggesa kumpulan terbabit yang mengkritiknya di media sosial supaya berhujah dengan ahli ekonomi yang membuat kajian terbabit dan bukan menyerang dirinya dengan fitnah, cacian dan cercaan.
“Itu taktik lapuk orang yang tak ada hujah, hanya pandai guna falasi ad hominem untuk tutup kelemahan sendiri.
“Yang lebih melucukan, puak-puak Madani ini tak ubah seperti penglipur lara istana bersorak, bertepuk tangan, memuji-muji Anwar yang kini ibarat ‘Raja Yang Berpakaian Baru’ nampak gah di atas pentas tetapi hakikatnya hanya memperbodohkan rakyat dengan ilusi dan propaganda,” sindirnya.
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, pembangkang bercakap berasaskan fakta sebaliknya pihak terbabit cuba menegakkan benang yang basah.
Dewan Rakyat semalam kecoh apabila Wan Ahmad Fayhsal membuat beberapa tuduhan terhadap Perdana Menteri berkaitan perkara penting melibatkan negara.
Ketika membahaskan titah diraja, Wan Fayhsal mendakwa Anwar gagal menarik pelaburan dan mencipta pekerjaan berkualiti walaupun melantik kroni dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – MalaysiaGazette