Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas selesai mendengar permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan empat pertuduhan kes salah guna kuasa program Jana Wibawa di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 09 JULAI 2024. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary antara 30 saksi yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Sesyen, di sini, bermula September ini.

Bekas Perdana Menteri menghadapi tujuh pertuduhan iaitu empat pertuduhan menyalahguna kedudukan dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berkaitan Projek Jana Wibawa.

Hakim Azura Alwi menetapkan perbicaraan didengar selama 11 hari bermula 17 hingga 19 September ini, 6 hingga 8 Oktober, 26 dan 27 November serta 13 hingga 15 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan, selain menetapkan 14 Mei ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan 30 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin memohon pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi membabitkan saksi penting kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

“Adalah tidak adil sekiranya kenyataan saksi diberikan kepada kami untuk diteliti dalam tempoh masa yang singkat. Berikanlah kami sekurang-kurangnya empat minggu lebih awal sebelum mereka tampil beri keterangan di mahkamah,” katanya.

Wan Shaharuddin bersetuju untuk menyerahkan pernyataan saksi bagi saksi formal dua minggu sebelum perbicaraan, manakala saksi penting tiga minggu lebih awal.

Sementara itu mahkamah turut membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula hari ini hingga 3 Mac bagi membolehkan beliau menghadiri persidangan di Belgium.

Muhyiddin, 77, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Beliau juga didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti Bersatu di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya, pada 7 Januari 2002. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here