JOHOR BAHRU – Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara dua tahun akibat kesalahan dadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan cuba merasuah seorang pegawai polis di Segamat, Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Samsuri Arijan, 48, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memberi suapan berjumlah RM3,700 kepada seorang sarjan untuk melepaskan dirinya yang ditahan kerana memiliki dadah.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sekitar pukul 6.55 petang pada 14 Oktober lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Faizal Kamaruzaman meminta mahkamah tidak memberikan jaminan kerana tertuduh sedang berdepan hukuman penjara dua tahun beserta tiga sebatan di Penjara Kluang sejak 6 Februari lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan permintaan pegawai pendakwa selain menetapkan tarikh 19 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Tertuduh sebelum ini telah dijatuhkan hukuman atas empat pertuduhan bersabit jenayah dadah mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette