Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57)  kesal apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sebagai salah seorang penganjur, beliau berasa hairan apabila usahanya yang mempertahankan nama baik Kerajaan Negeri Sabah dilihat seolah-olah seperti ancaman kepada pihak berkuasa.

“Sebagai penasihat Gerakan Bangkit Sabahan, saya difahamkan polis Sabah akan mendakwa saya kerana menganjurkan perhimpunan aman ini.

“Bagaimanapun saya berjanji akan melawan kes ini di mahkamah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Sekretariat Gerakan Bangkit Sabahan menganjurkan Perhimpunan Aman Himpunan Bangkit Sabahan di Anjung Senja, Teluk Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Disember 2024.

Lebih kurang 3,000 peserta yang berbaju hitam dan berlilit kain merah di lengan melibatkan kira-kira 100 persatuan dari seluruh Sabah menyertai perhimpunan aman itu.

Perhimpunan itu diadakan bagi menghalang “kemaraan” pereka grafik satira, Fahmi Reza serta 40 mahasiswa daripada meneruskan perhimpunan haram Gempur Rasuah Sabah untuk “menawan” Menara Kinabalu pada tarikh dan masa sama.

Selain itu, Zulkarnain mendakwa, PDRM Sabah dilihat ingkar kepada arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menghentikan siasatan terhadap mahasiswa yang terbabit dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu.

“Sebaliknya penganjur Himpunan Aman Bangkit Sabahan pula bakal diheret ke mahkamah.

“Kumpulan kecil mahasiswa dari Universiti Sabah Malaysia (UMS) yang mendesak Datuk Seri Hajiji Noor letak jawatan dan cubaan menghina Yang di-Pertua Negeri Sabah pula tidak dikenakan tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, kata Zulkarnain, pihaknya tidak akan gentar dengan tindakan itu, sebaliknya bercadang untuk menganjurkan perhimpunan aman lebih besar selepas ini bagi mempertahankan kerajaan GRS-PH daripada serangan fitnah.

“Polis Sabah sepatutnya mengheret Fahmi terlebih dahulu ke mahkamah kerana menghina Yang Di-Pertua Negeri Sabah dan bukan penganjur Himpunan Bangkit Sabahan.

“G57 juga akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri termasuk Yang di-Pertuan Agong untuk campur tangan ke atas keputusan keterbelakang itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here