KUALA LUMPUR- Kajian terbaru berkenaan penyakit buah pinggang mendapati bahawa hampir separuh daripada pesakit buah pinggang kronik (CKD) peringkat lanjut di Malaysia kehilangan pekerjaan akibat keadaan kesihatan yang merosot.
Kajian ini menimbulkan kebimbangan mengenai sokongan kewangan dan kualiti hidup golongan ini, terutama mereka yang bergantung kepada rawatan jangka panjang.
Penyelidikan yang diketuai oleh Pensyarah Perubatan dan Pakar Nefrologi di Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Lydia Kamaruzaman mendapati bahawa kadar pekerjaan dalam kalangan pesakit CKD peringkat empat dan lima hanyalah 50 peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar di negara maju seperti Belanda yang mencapai 68%.
Dr. Lydia berkata hasil kajian tersebut mendapati majoriti pesakit yang terkesan adalah mereka yang menghidap diabetes mellitus iaitu 67% dan tekanan darah tinggi (92.8%), yang merupakan faktor risiko utama kepada CKD.
“Selain itu, 55.3% pesakit dalam kajian ini juga mengalami obesiti, yang dikaitkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan yang memburukkan lagi keadaan mereka,” katanya.
Menurut beliau, kajian itu turut mendedahkan bahawa pesakit CKD yang menganggur kebanyakannya berasal daripada golongan B40, iaitu kumpulan berpendapatan rendah, dengan 86% daripadanya berada dalam kategori ini.
“Ketiadaan pendapatan tetap menyebabkan mereka sukar menanggung kos rawatan dialisis yang boleh mencecah RM40,000 setahun, yang seterusnya meningkatkan beban kewangan kepada keluarga dan sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain faktor kesihatan, beliau berkata tahap pendidikan juga memainkan peranan penting dalam peluang pekerjaan pesakit CKD.
“Kajian mendapati bahawa pesakit dengan tahap pendidikan lebih tinggi mempunyai 81% lebih peluang untuk terus bekerja berbanding mereka yang hanya mempunyai pendidikan rendah.
“Hal ini menunjukkan bahawa pekerjaan yang lebih fleksibel dan kurang bergantung kepada tenaga fizikal memberi peluang lebih baik kepada pesakit CKD untuk meneruskan kehidupan mereka tanpa kehilangan mata pencarian,” ujar beliau.
Dari segi kesan terhadap kesihatan mental dan kualiti hidup, Dr. Lydia menerangkan bahawa pesakit CKD yang menganggur dilaporkan mengalami tekanan emosi yang lebih tinggi, termasuk masalah kemurungan dan kebimbangan.
“Mereka juga melaporkan tahap kesakitan fizikal dan keletihan yang lebih tinggi, yang menjejaskan produktiviti serta keupayaan mereka untuk bekerja.
“Kajian mendapati bahawa pesakit yang masih bekerja mengalami kadar ketidakupayaan kerja sebanyak 24.35%, sementara 13.36% daripada mereka terpaksa mengambil cuti sakit secara berkala akibat kesan penyakit ini terhadap kesihatan mereka,” katanya.
Para penyelidik menekankan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk polisi dan sokongan yang lebih menyeluruh bagi pesakit CKD, terutamanya dalam aspek pekerjaan dan rawatan kesihatan. Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pelaksanaan program pekerjaan fleksibel, subsidi perubatan, serta insurans kesihatan khusus untuk pesakit CKD bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
“Pesakit CKD bukan sahaja menghadapi cabaran dari segi kesihatan, tetapi juga dari segi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“Penyakit ini bukan hanya memberi kesan kepada tubuh badan mereka, tetapi turut mengganggu kehidupan seharian, termasuk pekerjaan dan kewangan mereka. Oleh itu, langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Tambah Dr Lidya, sekiranya ingin memastikan pesakit CKD dapat hidup dengan lebih baik, ia memerlukan usaha bersama dari semua pihak, termasuk kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, dan masyarakat.
“Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan golongan ini mendapat sokongan yang mencukupi, bukan hanya dalam aspek rawatan perubatan tetapi juga dalam kestabilan kewangan dan pekerjaan.
“Tanpa tindakan ini, pesakit CKD akan terus berdepan dengan kesukaran yang menghalang mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” tambah Dr. Lydia.
Dengan jumlah pesakit CKD yang semakin meningkat di Malaysia, kajian ini memberi amaran bahawa sokongan kewangan dan dasar kesihatan yang lebih inklusif perlu diberi perhatian segera untuk membantu golongan ini meneruskan kehidupan yang lebih berkualiti.
Tanpa tindakan segera, keadaan ini boleh memberi impak yang besar bukan sahaja kepada pesakit dan keluarga mereka, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.- MalaysiaGazette