Lelaki yang ditahan bersama sebuah lori membawa muatan 145 batang kayu bakau dipercayai dicuri dari kawasan Hutan Paya Bakau Air Tawar- Sebatu, Sungai Rambai, Jasin Melaka disyaki cuba menjualnya ke kedai perkakasan di negeri ini.

JASIN – Lelaki yang disyaki mencuri 145 batang kayu bakau di kawasan Hutan Paya Bakau Air Tawar- Sebatu, Sungai Rambai di sini, dipercayai cuba menjualnya ke kedai perkakasan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Khirun Nizam Abdul Rahim berkata, siasatan terhadap pemandu lori berusia 44 tahun itu masih dijalankan selepas dia ditahan sepasukan polis di lokasi itu kira-kira jam 6.30 petang semalam.

“Pemantauan dilakukan selama sebulan selepas mendapat laporan awam dan kita tidak tolak kemungkinan kayu bakau dicuri yang dianggarkan bernilai RM2,000 dijual ke kedai-kedai hardware (kedai perkakasan) berhampiran.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk lokasi kejadian sama ada melibatkan tanah persendirian ataupun milik kerajaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.


Dr Akmal bertanyakan sesuatu kepada seorang lelaki yang ditahan bersama sebuah lori mengenai aktiviti haram mencuri kayu bakau dipercayai sudah dilakukannya beberapa kali sebelum ini di Kampung Ayer Tawar, Merlimau Jasin, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan juga mendapati aktiviti itu dilakukan secara haram tanpa membuat sebarang permohonan lesen kepada Jabatan Perhutanan negeri.

“Sebarang kegiatan untuk mengeluarkan hasil hutan perlu memohon lesen daripada kita dan tidak boleh dilakukan sesuka hati atau pelaku boleh berdepan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Ini termasuklah kawasan paya bakau yang sensitif kerana penebangan tanpa kawalan akan mengakibatkan kawasan terbabit terdedah kepada hakisan dan angin kencang,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, suspek telah diserahkan kepada jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here