Ketua Pemuda Parti Gerakan Pahang, Goh Tee Loong.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa masih mencari seribu satu alasan untuk menghalang penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Tindakan ini tidak hanya menafikan hak wakil rakyat, sebaliknya memberi kesan buruk kepada rakyat yang mereka wakili, kata Ketua Pemuda Parti Gerakan Pahang, Goh Tee Loong.

Merujuk perbahasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat apabila menyatakan, beliau berkali-kali berunding dengan pihak kerajaan demi mendapatkan peruntukan untuk kawasan parlimennya, namun segala usaha tersebut tidak dipedulikan, Tee Loong berkata, tindakan kerajaan telah memberikan imej buruk kepada sistem demokrasi yang disanjung di Malaysia selama ini.

“Walaupun telah lima kali berunding (Syed Saddiq dengan kerajaan), berkali-kali membangkitkannya dalam Parlimen dan lebih 800 hari selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen bagi penggal ini, kerajaan tetap berdegil dalam menyalurkan peruntukan secara adil kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira blok politik.

“Semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peruntukan diberikan secara seimbang dan adil kepada semua Ahli Parlimen, termasuk PKR dan DAP yang merupakan pembangkang pada ketika itu.

“Ini jelas membuktikan peruntukan kepada wakil rakyat boleh dan sepatutnya diberikan secara sama rata tanpa prejudis politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tee Loong lagi, menghalang peruntukan secara selektif adalah satu bentuk kezaliman yang tidak boleh diterima.

“Apa yang ingin dicapai oleh Kerajaan dengan tindakan ini?

“Adakah kerajaan cuba menghukum rakyat hanya kerana mereka memilih wakil rakyat dari parti yang tidak selari dengan blok kerajaan? soalnya.

“PKR telah menyimpang jauh daripada agenda reformasi yang mereka perjuangkan, tetapi bagaimana pula dengan DAP?

“Ke manakah hilangnya prinsip kesamarataan yang mereka laungkan selama ini? Ke mana perginya kematangan politik yang sepatutnya kita junjung bersama? Soalnya lagi.

Tambahnya, Pakatan Harapan (PH) telah berjanji dalam manifesto pilihan raya di muka surat 42, bahawa semua wakil rakyat termasuk pembangkang akan diberikan peruntukan yang sama rata.

Bagaimanapun katanya, kini pelbagai alasan diberikan pula kononnya perlu berbincang dan inilah contoh jelas bagaimana janji hanya tinggal janji.

Pemuda Gerakan Pahang menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya dihukum dengan sekatan dana pembangunan kawasan hanya kerana mereka memilih wakil rakyat dari parti selain PH/BN.

“Kami mendesak kerajaan agar segera menghentikan drama politik ini dan menyalurkan peruntukan secara sama rata kepada semua ahli parlimen demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here