KUALA LUMPUR – Penasihat Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai dan Bendahari Kebangsaan DAP, Fong Kui Lun mengumumkan tidak akan bertanding pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 pada 16 Mac depan.
Menurut satu kenyataan, kedua-dua pemimpin veteran itu berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan empat faktor termasuk keperluan memberi ruang kepada generasi kepimpinan baharu serta keyakinan penuh terhadap hala tuju kepimpinan parti.
Katanya, sudah hampir setengah abad mereka mengabdikan diri dalam perjuangan DAP dengan menyaksikan transformasi parti daripada sekadar pembangkang yang lama bertapak kepada rakan kongsi utama dalam kerajaan hari ini.
“Perjalanan panjang ini buat kami rasa bangga dan puas hati. Kini, DAP mempunyai ramai pemimpin berbakat dan pelan peralihan kepimpinan yang tersusun. Sudah tiba masanya generasi baharu diberikan lebih ruang untuk menerajui parti ke tahap lebih tinggi.
“Kami yakin penuh terhadap barisan kepimpinan teras parti yang dilihat memiliki strategi mantap dalam usaha pembangunan parti dan kesiapsiagaan pilihan raya.
“Pendekatan mereka menunjukkan koordinasi yang baik antara usaha dalaman dan luaran, sejajar dengan perkembangan semasa. Kami yakin masa depan DAP berada di tangan yang berkemampuan,” katanya.

Dalam pada itu, mereka berkata, perubahan landskap politik dari semasa ke semasa menuntut gaya kepimpinan yang berbeza bagi setiap generasi.
Namun jelasnya, prinsip utama reformasi harus selari dengan kemajuan masyarakat dan keperluan politik semasa.
“Kepimpinan teras DAP hari ini bersifat dinamik, menghubungkan legasi masa lalu dengan masa depan sambil menerapkan pembaharuan dan kemajuan. Kami mengiktiraf sepenuhnya kebolehan dan keupayaan mereka,” ujar mereka.

Kok Wai dan Kui Lun turut mengungkapkan penghargaan kepada semua pejuang DAP, termasuk anggota akar umbi yang telah berkorban tanpa mengharapkan pengiktirafan.
“Selama lima dekad, kami telah berjuang melalui proses demokrasi untuk merealisasikan visi ‘Malaysian Malaysia’ yang bebas, adil, saksama dan pelbagai. Ramai yang telah berkorban untuk perjuangan ini, sama ada sebagai wakil rakyat atau ahli biasa yang bekerja tanpa penat lelah di belakang tabir.
“Kami berhutang budi kepada semua rakan seperjuangan. Parti ini milik kita bersama, dan kita semua boleh berbangga dengan pencapaiannya,” ujar mereka. – MalaysiaGazette