Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajar mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang didakwa berterusan menyebar fitnah dan pembohongan terhadap institusi terbabit.

Naib Ketua Pemuda Harapan, Ammar Atan berkata, kenyataan Ka Siong bahawa `duit KWSP telah hilang dan rugi’ dalam transaksi saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak bersandarkan fakta dan barangkali, melibatkan agenda tersembunyi.

Ujar beliau, amat pelik melihat MCA yang merupakan pemegang saham terbesar Star Media Group Bhd. dan Matang Bhd. tidak memahami asas pelaburan, walaupun kedua-dua syarikat tersebut tersenarai di Bursa Malaysia.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, ada dua jenis keuntungan telah dijana oleh KWSP melalui MAHB iaitu peningkatan harga saham atau “capital appreciation” dan dividen sejak 1999.

Tambah beliau, data Bloomberg juga menunjukkan jumlah pulangan atau “total return” KWSP adalah antara 238 peratus (jika saham dijual pada RM5.40) dan 361 peratus (jika dijual pada RM7.36), jika dividen dilaburkan semula.

“Dalam bahasa mudahnya, segala kos pelaburan KWSP dalam MAHB telah diraih balik, termasuk melalui dividen.

“Pihak MCA pastinya memahami soal dividen, memandangkan mereka penerima manfaat terbesar menerusi dividen lumayan daripada Star Media Group Bhd.

“Jadi, tidak timbul soal KWSP rugi dalam MAHB setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah Ammar, isu kerugian juga tidak timbul dalam soal pembelian saham MAHB oleh KWSP pada harga RM11 sesaham baru-baru ini selaras dengan penswastaan syarikat tersebut.

Jelasnya, penswastaan MAHB dilakukan untuk menambah nilai atau “value creation” menerusi penambahbaikkan operasi dan kewangan.

“Selepas suatu tempoh tertentu, MAHB dijangka akan disenarai balik di pasaran saham, di mana konsortium GDA yang dianggotai oleh Khazanah Nasional, KWSP, Global Infrastructure Partners dan Abu Dhabi Investment Authority boleh menjual pegangan mereka pada harga dan penilaian (valuation) yang lebih tinggi,” katanya.

Begitu juga, tambah beliau, megenai persoalan mengapa KWSP menjual sahamnya pada tahun 2023 dan membelinya kembali untuk melaksanakan penswastaan MAHB yang mana KWSP menetapkan “sempadan” yang ketat antara dua pasukan dalamannya.

“Sekali lagi, Pemuda AMANAH menawarkan kelas “Finance 101” percuma kepada pengkritik tegar MAHB Wan Fayhsal (Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) dan tawaran ini dibuka juga untuk YB Wee Ka Siong,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ka Siong mendakwa KWSP mengalami kerugian antara RM500 juta hingga RM700 juta akibat urus niaga dan penjualan 150 juta saham MAHB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here