KUALA LUMPUR – Saman pemula yang dikemukakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim berkaitan penamatan keahliannya daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) akan didengar oleh Mahkamah Tinggi, di sini.
Pada masa sama, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Bersatu dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah untuk membatalkan saman pemula Mohd Azizi.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu kerana berpendapat mahkamah perlu memperhalusi dan mendengar persoalan-persoalan berkaitan Perlembagaan parti itu terlebih dahulu.
Sebelum ini, Mohd Azizi dalam saman pemulanya mendakwa pindaan Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan
Pada tahun lalu, Bersatu meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu melibatkan beberapa fasal untuk mengekang peralihan sokongan dalam kalangan Ahli Parlimennya.
Pindaan itu selepas enam orang Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Enam ahli Parimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette