KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong’ (MLFF) tidak akan membebankan kerajaan dan pengguna lebuh raya.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kos pemasangan sistem itu yang dimulakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada April ini menggunakan penjimatan kos daripada operasi plaza tol konsesi terbabit.
“Mengenai kos yang disebut RM3.46 bilion itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadang supaya analisis kos faerah dikeluarkan semalam.
“Cadangan asal duitnya itu tidak datang daripada kerajaan dan tidak akan dikenakan kepada pengguna.
“Pada saat dan ketika ini, plaza-plaza tol sedia ada mempunyai kos tersendiri termasuk kos penyelenggaraan, elektrik dan penggajian kakitangan di plaza tol.
“Penjimatan itu yang digunakan untuk sistem MLFF tanpa meningkatkan kadar tol,” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN), Datuk Seri Wee Ka Siong dalam soalan tambahannya meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) supaya menjelaskan sejauh mana sistem MLFF tidak memberi implikasi kos kepada rakyat.
Ahmad menjelaskan, pelaksanaan sistem MLFF bermula April ini merupakan inisiatif daripada PLUS.
“Apabila perjanjian ini tamat, konsesi ada hak untuk melaksanakan MLFF mereka sendiri walaupun mereka tertakluk kepada arahan dan hala tuju yang akan diputuskan oleh Kabinet.
“Pihak KKR akan mendapatkan hala tuju baharu daripada Jemaah Menteri untuk kaedah pelaksanaan MLFF dalam masa terdekat,” katanya.
Jelasnya, ia susulan perjanjian pelantikan yang ditandatangani di antara kerajaan dan syarikat pencadang iaitu KJS-SEP JV bagi pelaksanaan sistem MLFF telah berakhir pada 16 Disember 2024.
“Selepas tiga tahun, pihak kerajaan, 33 syarikat konsesi lebuh raya sedia ada dan syarikat pencadang tidak dapat mencapai persetujuan untuk memuktamadkan rundingan dan secara langsung perjanjian pelantikan tersebut telah terbatal.
“Halangan utama bagi rundingan gagalnya perkara itu kerana persetujuan semua 33 syarikat konsesi tidak dapat dicapai, hanya 20 yang setuju, 13 lagi tidak setuju,” katanya.
Selain itu, Ahmad berkata, MLFF merupakan inisiatif KKR bagi masa depan untuk sistem kutipan tol dan sejajar dengan pelan pelaksanaan sistem pengangkutan pintar negara (ITS).
“Melalui sistem kutipan tol MLFF, pengguna tidak perlu lagi memberhenti atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol dan seterusnya melancarkan aliran trafik di kawasan plaza tol,” katanya.
Menurut Ahmad, ia bukan sahaja cepat dan efisien malah platform sistem pembayaran terbuka lebih berkesan dan anti monopoli serta dapat memelihara alam sekitar daripada pelepasan karbon berlebihan akibat kesesakan trafik di plaza tol.
“Beberapa negara di dunia seperti Singapura, Amerika Syarikat, Australia, Taiwan, Perancis, UAE, Kanada, Brazil dan Austria sudah beralih kepada kaedah MLFF di rantau Asia Tenggara,
“Thailand dan Indonesia juga telah mengorak langkah ke arah sistem ini.
“Cadangan pelaksanaan MLFF di Malaysia menggunakan gabungan teknologi RFID dan CANPNR berupaya mengesan kenderaan serta maklumat pengguna bagi tujuan pembayaran tol lebih lancar,” katanya.
Tambah beliau, reka bentuk lebuh raya baharu juga telah disesuaikan dengan teknologi tersedia untuk pelaksanaan kutipan tol secara MLFF. – MalaysiaGazette