PETALING JAYA – Pengasuh Zayn Rayyan Abdul Matin mengaku mendengar suara kanak-kanak autisme itu seolah-olah cuba ‘melepaskan diri daripada seseorang’ ketika terlibat dalam misi mencarinya di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Auni Afiqah Abas, 30, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, suara itu turut didengar oleh adiknya dan beberapa kanak-kanak yang juga menyertai misi pencarian tersebut pada pukul 6.30 petang, 5 Disember 2023.
Ujar pengasuh berkenaan, gerakan mencari Zayn Rayyan dilakukan sewaktu ibu bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf keluar membuat laporan polis berhubung kehilangannya.
“Sebagai pengasuh, saya mengenali suara Zayn Rayyan dan suara itu datang dari kawasan sekitar Blok R,” ujar Auni Afiqah ketika disoal balas oleh peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan itu.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Haresh: Semasa terlibat dalam misi pencarian 5 Disember 2023, ada awak mendengar suara Zayn datang dari kawasan Blok R?
Auni: Ya.
Haresh: Suara Zayn yang anda dengar itu seolah-olah dia cuba melepaskan diri daripada seseorang?
Auni: Saya tidak pasti.
Haresh: Masa sesi `TikTok Live’ dalam sebuah portal berita, awak kata awak mendengar suara Zayn yang hendak melepaskan diri daripada seseorang?
Auni: Ya.
Haresh: Ketika ditanya timbalan pendakwa raya, kenapa awak tidak beritahu perkara sepenting ini (dengar suara Zayn ketika misi pencarian)?
Auni: (Mendiamkan diri).
Sewaktu menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz pada sesi pemeriksaan semula, saksi berkenaan berkata, dia mengecam suara Zayn Rayyan kerana kanak-kanak itu pernah membuat bunyi `Errr’ ketika mengasuhnya di rumah.
Auni turut menyatakan, dia membuat rakaman TikTok berkenaan kerana merasakan itu suara Zayn Rayyan.
Menurut saksi pendakwaan ke-17 (SP17) itu, dia turut memaklumkan perkara tersebut (mendengar suara Zayn ketika misi pencarian) kepada pihak polis.
Pada prosiding itu, saksi turut berkata, dia mengenali Ismanira ketika zaman kolej dan bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa wanita tersebut seorang yang penyayang terhadap anaknya.
Ujar Auni Afiqah, polis merakam keterangannya beberapa kali dan dia tetap memberi jawapan yang sama selain bersetuju bahawa polis mengulangi sesi siasatan kerana tidak berpuas hati dengan jawapannya.
Ketika memberi keterangan berhubung sikap Zayn Rayyan di rumah, saksi berkata, anak asuhannya hanya boleh menyebut perkataan `mommy’.
“Jika berkeadaan tantrum, kanak-kanak itu diam sewaktu saya menyebut `mommy’. Kalau waktu petang dan ketika hujan dan ada petir, dia akan tantrum,” ujar saksi.
Menurut saksi, jika tantrum, Zayn Rayyan akan duduk berseorangan di sudut melayani dunianya sendiri.
Katanya, kanak-kanak itu seorang yang lembut, tidak agresif, periang, tidak boleh bercakap dan hanya boleh menyebut `mommy’.
Ujar Auni Afiqah, dia mengasuh Zayn Rayyan sejak berumur lima tahun manakala adiknya tiga tahun serta beberapa kanak-kanak lain.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung petang. – MalaysiaGazette