KUALA LUMPUR- Kenaikan kos elektrik bukanlah satu fenomena yang boleh dielakkan selagi Malaysia terus bergantung kepada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui seperti arang batu dan gas asli.
Dengan bekalan yang semakin mahal dan ketidaktentuan pasaran global, lonjakan harga tenaga dijangka memberi tekanan bukan sahaja kepada pengguna, tetapi juga mengancam kestabilan kos elektrik pada masa hadapan.
Sejak 2006, tarif elektrik negara telah meningkat sebanyak 12 peratus, diikuti dengan kenaikan 7.12 peratus pada 2011.
Kenaikan harga ini menekankan keperluan mendesak untuk mencari alternatif tenaga yang lebih mampan bagi mengurangkan beban kos kepada pengguna.
Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health Sunway University Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berpandangan bahawa peningkatan tarif elektrik bukanlah satu petanda buruk bagi pasaran tenaga negara, sebaliknya mencerminkan keperluan untuk Malaysia memperkenalkan pembaharuan dasar tenaga.
Beliau berkata isu utama adalah kelestarian tenaga untuk jangka masa panjang dan bagaimana negara dapat mencari peluang serta inisiatif yang lebih berdaya tahan, beralih daripada kebergantungan kepada sumber tenaga tradisional.
“Zaman kebergantungan kepada sumber tenaga tradisional sudah berlalu. Pandangan lebih progresif ialah bagaimana negara harus mencari peluang dan inisiatif bersifat jangka panjang bagi memastikan bekalan tenaga lebih stabil serta mampu milik,” katanya.
Dr Jemilah pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri dalam bidang Kesihatan Awam, serta merupakan ahli Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kerajaan Malaysia.
Pada 2020, beliau dilantik sebagai Felo Kanan di Adrienne-Arsht-Rockefeller Foundation Resilience Centre, sebuah pusat yang memfokuskan kepada isu perubahan iklim dan cabaran keselamatan manusia, dengan matlamat mencapai satu bilion orang lebih berdaya tahan menjelang 2030.
Mengulas lanjut, Dr Jemilah memberi contoh kejayaan negara seperti Denmark dan Vietnam yang telah menunjukkan bahawa pelaburan awal dalam tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin dan solar dapat menurunkan kos elektrik secara signifikan.
Bagi mereka yang ingin lebih memahami cara menyusun dan menulis kerja ilmiah mengenai topik ini, mendapatkan bantuan dalam penulisan kerja akademik (facharbeit schreiben lassen “German”) boleh menjadi langkah yang baik untuk menghasilkan analisis yang mendalam dan terstruktur.
“Denmark yang membuat pelaburan awal sejak 1970 dalam tenaga angin telah membuahkan hasil apabila kos elektrik daripada tenaga angin menurun sebanyak 65 peratus sejak 2010.
“Vietnam turut mencatat kejayaan dalam sektor solar apabila kapasiti tenaga solar negara itu meningkat daripada hampir sifar pada 2017 kepada lebih 16.5GW pada 2020, sekali gus mengurangkan tekanan pada kos tenaga jangka panjang,” katanya menambah Malaysia dengan kedudukan yang strategik di garisan khatulistiwa mempunyai potensi besar dalam tenaga solar.
Purata radiasi solar harian antara 4 hingga 6 kWh/m² sehari, katanya menjadikan negara ini pilihan yang amat berdaya saing untuk memanfaatkan tenaga solar sebagai sumber alternatif.
Selain itu, Malaysia boleh mengambil pengajaran daripada kejayaan negara serantau seperti Singapura yang menyasarkan kapasiti solar sebanyak 4GW menjelang 2030 dan Australia yang berjaya mengurangkan kos elektrik melalui pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Menurut Data International Renewable Energy Agency (IRENA), kos solar telah turun sebanyak 85 peratus sejak 2010, manakala kos tenaga angin luar pesisir menurun 56 peratus dalam tempoh sama.
“Kini, tenaga boleh diperbaharui lebih murah berbanding loji arang batu baharu di 90 peratus pasaran global,” katanya.
Dengan sasaran Malaysia untuk mencapai 31 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025, yang memerlukan pelaburan sekitar RM33 bilion, Dr Jemilah percaya bahawa pelaburan itu akan membawa penjimatan jangka panjang yang signifikan, berbanding dengan kebergantungan kepada bahan api fosil yang semakin tidak mampan.
— BERNAMA