SYDNEY – Polis Australia mendakwa seorang wanita berusia 31 tahun kerana menyerang dua wanita Islam di sebuah pusat membeli-belah di Melbourne minggu lalu.
Wanita dari pinggir bandar Pascoe Vale akan dihadapkan ke mahkamah pada hari Rabu, dan akan didakwa menyerang kedua-dua mangsa pada 13 Februari kerana mereka berhijab, laporan media tempatan.
Tertuduh didakwa menahan dn mencekik seorang wanita hamil berusia 30 tahun menggunakan tudung di pusat beli-belah Epping sebelum menolak dan menampar seorang lagi wanita berusia 26 tahun dalam serangan berasingan 10 minit kemudian.
Ini berlaku dua minggu selepas negara itu meluluskan undang-undang baharu yang keras terhadap jenayah kebencian berikutan rentetan serangan antisemitik berprofil tinggi baru-baru ini.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada hari Rabu mengutuk insiden itu sebagai “tercela”.
Beliau menolak kritikan kerajaannya kurang memandang serius serangan Islamofobia berbanding serangan antisemitik lain.
“Saya memandang serius semua serangan terhadap orang atas dasar kepercayaan mereka, dan mereka semua harus menghadapi kuasa penuh undang-undang,” katanya kepada pemberita.
Polis Melbourne berkata, mereka sedang menyiasat laporan ancaman dalam talian terhadap salah seorang daripada dua mangsa di pusat beli-belah itu.
Kedua-duanya mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Pada hari Selasa, wakil anti-Islamofobia Australia, Aftab Malik, memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia “semua bentuk kebencian perlu dihentikan” dan pemimpin negara ini mesti mengutuk insiden di Melbourne.
Awal minggu ini, Presiden Persekutuan Majlis Islam Australia, Rateb Jneid, menyatakan kebimbangan terhadap serangan ke atas umat Islam di negara itu dan menyifatkan tindak balas kerajaan itu “sangat tidak mencukupi”.
Kerajaan Australia telah menyifatkan undang-undang baharu yang diluluskan pada awal Februari sebagai “undang-undang paling keras Australia pernah ada terhadap jenayah kebencian”.
Ia mengenakan hukuman penjara mandatori antara satu hingga enam tahun bagi penggunaan simbol kebencian seperti tabik Nazi.
Pembaharuan itu berlaku apabila serangan terhadap sasaran Yahudi telah menjadi topik perdebatan sengit di Australia.
Minggu lalu, dua jururawat Australia digantung kerja selepas video menunjukkan mereka mengancam untuk membunuh pesakit Israel dan bermegah kerana enggan merawat mereka.
Pada akhir Januari, polis Sydney menemui kafilah yang mengandungi bahan letupan dan nota antisemitik. – Agensi
Saved