Oleh: Dr. Ahmad Fawwaz Mohd Nasarudin & Norhashimah Mohamad Haida
DALAM kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina yang berlangsung beberapa minggu lepas, media melaporkan sejumlah 2.6 juta kenderaan telah menggunakan rangkaian lebuh raya utama di seluruh Malaysia. Ditambah dengan sesi cuti persekolahan yang bertindih pada tempoh yang sama, ia telah mencipta kesesakan luar biasa di hampir seluruh pelosok Semenanjung Malaysia.
Kesesakan ini turut menjalar sehingga ke jalan-jalan persekutuan dan laluan alternatif sehingga menjejaskan rutin harian penduduk setempat dan pengguna domestik. Laporan sama mengandaikan pemandu bakal memanjangkan tempoh pemanduan disebabkan kesesakan aliran trafik.
Lebihan masa pemanduan bukan sahaja tidak produktif malah ia juga boleh membawa pelbagai komplikasi termasuk dalam aspek kesihatan dan kewangan. Ketidakselesaan yang timbul oleh postur duduk yang sama bagi tempoh yang berterusan berpotensi mendatangkan kerosakan saraf dan tulang selain bersifat tidak ergonomik.
Pemanduan bertempoh panjang juga mendatangkan bahaya pemanduan, pemandu mudah menjadi mengantuk dan dibimbangi hilang kawalan pemanduan oleh tidur
mikro. Buat warga emas dan kanak-kanak, cabaran lain termasuk kesukaran menguruskan keperluan khas seperti memerlukan masa dan ruang untuk ke tandas dan mengurus diri. Juga, kesesakan sebegini turut menjejaskan kesihatan mental dan psikologi pengguna jalan raya.
Paling membimbangkan, statistik oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM menunjukkan sejumlah 7882 kes kemalangan telah dilaporkan sepanjang tempoh Op Selamat 23 Tahun Baru Cina 2025 termasuk 109 kes kemalangan maut. Walaupun jumlah ini berkurangan berbanding tempoh sama tahun lepas, ia adalah peningkatan drastik berbanding rekod kemalangan di musim bukan perayaan.
Beban yang berulang
Ini bukanlah suatu fenomena asing di bumi bertuah Malaysia. Umum bahkan sudah dapat menjangka bahawa kesesakan serupa akan berulang ketika sambutan perayaan Thaipusam dan seterusnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ini terjadi di sebalik beberapa inisiatif Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengawal selia aliran trafik. Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah mengeluarkan jadual cadangan perjalanan bagi musim perayaan, inovasi laluan pintar (smart lane) di 25 lokasi strategik, menambah kaunter bayaran tol serta pengaktifan laluan tidal serta kemas kini berterusan aliran trafik masih tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang berterusan dialami.
Secara sinis, ramai yang berjenaka bahawa kesesakan jalan-jalan raya di sepanjang musim perayaan adalah sebahagian tradisi atau norma baharu masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Realitinya, ia adalah suatu perjuangan yang terpaksa dilakukan oleh masyarakat bandar khususnya setiap kali menempuh perjalanan pulang ke kampung halaman. Sudahlah rutin harian memaksa mereka berdepan kesesakan trafik di bandar, kini di musim perayaan dan cuti, mereka perlu terperangkap pula dalam suatu lagi pesta trafik. Jika disoroti, ia bukanlah suatu kebetulan yang hanya terjadi secara rawak. Kebarangkalian untuk ia berulang lagi sangatlah tinggi.
Statistik terkini bancian mendedahkan bahawa lebih 8.8 juta daripada 34.1 juta penduduk Malaysia memilih untuk menetap di Lembah Klang. Ini hampir 25% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia sekali gus menjadikan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sebagai negeri/wilayah berdensiti paling tinggi. Menariknya, pertumbuhan bilangan penduduk di Lembah Klang tidak berkorelasi dengan pertambahan kadar kelahiran hingga mendatangkan hipotesis bahawa unjuran peningkatan ini dicetus oleh penghijrahan atau migrasi penduduk negeri lain ke Lembah Klang. Tanpa sedar, migrasi yang didorong oleh peluang pekerjaan yang pelbagai di ibu kota ini telah mencipta kepadatan penduduk di Lembah Klang.
Selain isu kesesakan jalan raya, penduduk Lembah Klang juga berdepan beberapa implikasi negatif lain ekoran kadar pertambahan penduduk yang drastik. Antara cabaran yang dihadapi termasuklah dari aspek beban kewangan yang bertambah tinggi. Selain kos perbelanjaan harian yang sedia mencengkam, umum tahu bahawa harga perumahan di sekitar kawasan tumpuan di Lembah Klang adalah tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini ditambah pula dengan keperluan menampung perbelanjaan minyak kenderaan di mana penduduk Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan perlu membelanjakan sejumlah RM6.8 bilion setahun bagi menampung kos minyak yang dicetuskan oleh kesesakan jalan raya dengan purata 580 jam setahun. Dari aspek kebersihan dan kualiti hidup, mereka juga tanpa sedar berhadapan cabaran di mana kebersihan udara mereka telah dikompromi.
Berdasarkan laporan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Malaysia, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Lembah Klang mencatatkan paras pencemaran harian yang tertinggi dan membimbangkan iaitu melebihi paras 170. Kebersihan udara ini telah dikompromi dek pelepasan gas seperti nitrogen dioksida dan karbon dioksida dari jumlah kenderaan yang merupakan penyumbang kedua tertinggi pencemaran udara selain industri pembuatan.
Tambah merisaukan, sebuah kajian yang disiarkan di National Library of Medicine, Amerika Syarikat, melaporkan individu yang berada di dalam kesesakan jalan raya atau menginap berdekatan lebuh raya dan jalan utama merekodkan kadar kematian yang lebih tinggi. Kepadatan penduduk yang terlalu tinggi juga dibimbangi menjejaskan kualiti hidup di samping mencetuskan pelbagai belenggu sosial yang berpotensi merugikan negara secara sistematik di jangka masa panjang. Ia juga sering dikaitkan dengan kadar penurunan kelahiran di bandar-bandar besar dan peningkatan kadar jenayah.
Demigrasi: Solusi jangka panjang
Apakah perancangan strategik bagi mengatasi segala kemelut ini? Barangkali, jawapan ringkas bagi permasalahan ini adalah memperkenalkan inisiatif demigrasi. Demigrasi ialah istilah yang dapat digunakan sebagai antonim kepada migrasi iaitu penghijrahan dari kawasan kecil ke kota besar. Dalam konteks ini, demigrasi atau penyahbandaran pula ialah seruan untuk rakyat di kawasan bandar yang berdensiti tinggi untuk sebaliknya berhijrah kembali ke kawasan pinggiran bandar yang mungkin belum dibangunkan secara pesat.
Usaha demigrasi bukanlah baharu kerana pernah dipelopori oleh beberapa negara membangun. Bermula April 2023, kerajaan Jepun menawarkan ganjaran kewangan 1 juta Yen (sekitar RM28,000) bagi setiap bilangan anak untuk keluarga yang sanggup berhijrah semula ke kawasan kurang padat demi mengurangkan tekanan kepadatan populasi di Tokyo. Pada tahun 2021, Ireland telah memindahkan 68,000 penduduknya dari Dublin ke kawasan lebih terpencil demi kesejahteraan hidup. Langkah sama turut direkodkan berlaku di Switzerland, Itali dan Sepanyol.
Usaha demigrasi adalah suatu langkah yang diyakini dapat membantu mengurangkan kepadatan penduduk di kawasan bandar berdensiti tinggi seperti Lembah Klang sekali gus membantu mengawal masalah-masalah yang dinyatakan awal tadi. Selain itu, kebaikan demigrasi adalah membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan di kawasan pinggiran bandar, kurang membangun dan terpencil. Ini sekaligus akan merangsang peluang pekerjaan baharu dan membantu merapatkan jurang pendapatan rakyat dan menjana kemakmuran negara.
Dari segi individu pula, demigrasi memungkinkan rakyat yang memilih berhijrah menikmati kualiti hidup yang lebih sihat dengan kebersihan udara yang lebih baik di samping memungkinkan mereka kembali berkhidmat di negeri kelahiran tanpa menjejaskan prospek kerjaya. Keindahan alam semula jadi Malaysia yang dipenuhi unsur kehijauan dan kedamaian juga mampu memulihara kesihatan mental dan mengurangkan stres yang boleh dicetus oleh tekanan kepadatan penduduk di bandar. Masa yang dijimatkan di jalan raya dapat dimanfaatkan untuk mencipta detik kebahagiaan bersama keluarga dan masyarakat.
Mampukah Malaysia melaksanakan demigrasi?
Jelasnya, usaha demigrasi bukanlah mudah kerana ia perlu mengikir suatu kepercayaan yang terpahat kukuh di kalangan watan bahawa Lembah Klang adalah lubuk rezeki utama. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kerjasama daripada pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bersama dengan pemain industri amat dituntut bagi menjayakan inisiatif ini.
Berikut disenaraikan beberapa cabaran demigrasi dan bagaimana ia boleh dirungkai dengan kerjasama semua pihak. Pertama sekali, pengalihan sumber kerja ke kawasan luar bandar memerlukan kebergantungan tinggi akan kestabilan rangkaian internet tanpa wayar untuk membolehkan urusan kerja dari rumah atau kawasan luar bandar berjalan secara efektif. Jelas, perlu ada penambahbaikan infrastruktur ini di kawasan luar bandar.
Ia juga memerlukan kebersediaan syarikat untuk mengurus pekerja dari jarak jauh dalam aspek keberkesanan dan keselesaan bekerja, kepimpinan yang efektif secara maya, dan kaedah membina semangat setia kawan sesama pekerja. Dari sudut lain, kerajaan mungkin boleh menggalakkan syarikat-syarikat besar mula beroperasi di pinggiran bandar dengan memberi pengecualian cukai bagi tempoh tertentu. Juga, prospek pembangunan ekonomi oren boleh dibina dengan memfokuskan pertumbuhan sebahagian industri khusus di kawasan luar bandar.
Sebagai contoh, kerajaan boleh menggalakkan pertumbuhan syarikat rintisan (startup company) dalam bidang teknologi dan pembangunan penyelidikan di kawasan luar bandar. Kerajaan juga boleh menyasarkan rangkaian syarikat besar untuk beroperasi di luar bandar sekaligus menarik penghijrahan pekerja untuk ke kawasan tersebut. Ini adalah strategi sama yang telah dilakukan oleh kilang Tesla di Nevada, Dell Technologies di Texas dan Epic System di Wisconsin di mana syarikat-syarikat ini telah berjaya mengurangkan kos operasi dan meningkatkan ekonomi di kawasan sekeliling mereka.
Inisiatif demigrasi tidak harus dilihat hanya sebagai teori, tetapi ia perlu dinilai sebagai salah satu strategi serampang dua mata yang boleh membangunkan negara secara lebih seimbang. Ia bukan sahaja mengurangkan beban Lembah Klang, tetapi juga dapat mencipta keseimbangan ekonomi yang lebih adil dengan memastikan kek ekonomi negara tidak hanya tertumpu di Lembah Klang tetapi diagihkan ke seluruh pelosok Malaysia.
Namun, untuk menjayakannya, kerjasama kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat amat diperlukan. Malaysia memerlukan dasar dan insentif yang kukuh, pelaburan prasarana luar bandar, serta perubahan penetapan minda rakyat agar mampu melihat kawasan luar bandar bukan sebagai peluang baharu untuk masa depan dan peningkatan kualiti hidup yang lebih baik. Dengan ini, bukan sahaja kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, tetapi pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, mampan dan lestari dapat dicapai sekaligus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Penulis dari Jabatan Kewangan
Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia