Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) bercakap ketika sidang media berkaitan kejayaan tangkapan dan rampasan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 31 JANUARI 2025.

SHAH ALAM – Mana-mana penganjur konsert di negara ini akan dikenakan syarat tertentu dalam permohonan permit bagi mengekang penggunaan dan pengedaran dadah sepanjang acara itu berlangsung.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah itu bagi memastikan kejadian tiga pengunjung Konsert Pinkfish yang meninggal dunia akibat penggunaan dadah tidak berulang.

“Betul, syarat-syarat itu akan diletakkan dalam permit yang dikeluarkan oleh majlis tempatan (bagi permohonan penganjuran konsert),” katanya pada sidang media, di Dewan D’Cereana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Semalam, Hussein mengesahkan tiga dari empat mangsa yang meninggal dunia semasa menghadiri sebuah konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 31 Disember lepas berpunca daripada pengambilan dadah stimulan.

Dalam pada itu, Hussein berkata, pihaknya memberikan cadangan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan supaya meletakkan syarat-syarat kepada penganjur termasuk mengiklan ataupun mewujudkan persekitaran larangan pengambilan dadah.

“Sebelum ini hanya pada tiket, tak boleh ambil dadah, jadi kita nak penganjur letak plakad atau papan tanda di tempat masuk di kawasan konsert dan sebagainya mengenai larangan pengambilan dadah.

“Hasil daripada siasatan kes konsert PinkFish, kita juga ada cadangkan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil oleh pihak penganjur.

“Jadi kita boleh mengekang aktiviti penggunaan dan pengedaran dadah di konsert-konsert yang dianjurkan,” katanya.

Selain itu, katanya, polis juga memberi komitmen untuk meningkatkan risikan dalam sesuatu konsert yang diadakan bagi mencegah penggunaan dadah dalam kalangan pengunjungnya.

“Beberapa cadangan ini kita telah memajukan kepada Kerajaan Negeri dan baru-baru ini kita juga ada memberi taklimat kepada Kementerian Belia dan Sukan, khususnya kepada menteri sendiri.

“Kita bukan nak halang penganjuran konsert, tetapi kita nak konsert dianjurkan dengan lebih berhemah supaya tiada kejadian malang akan berulang lagi di Malaysia, terutamanya di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here