Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang mdia semasa Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendakwa kerajaan membuat penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) secara tergesa-gesa.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia dibuktikan apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal untuk menyediakan buku RUU berkenaan kepada semua ahli-ahli Parlimen.

“Sehingga hari ini blue bill (buku biru) RUU masih belum ada di atas meja ahli parlimen, kita ada lagi lapan hari. Kita tak fahamlah kenapa begitu lewat.

“Sepatutnya RUU dapat (dibentang) di awal persidangan, sebahagian daripada RUU sampai ke hari ini masih lagi belum (dapat).

“Jadi, kesimpulannya RUU ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan juga mempunyai muslihat yang tertentu,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat,hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama-sama beberapa ahli Parlimen PN.

Selasa lalu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mendesak kerajaan menamakan semula URA tersebut sebagai akta “rampas rumah” kerana didakwanya melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.

Jelasnya, URA adalah satu pengkhinatan tersebar kepada golongan yang tinggal di kawasan bandar.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menafikan dakwaan Syed Saddiq bahawa URA adalah umpama “akta rampas rumah”.

Sebaliknya Kor Ming memberi jaminan yang akta itu menjamin hak milik asal pemilik dan tidak sesekali ada pihak yang akan merampasnya, sekali gus menolak kebimbangan pihak pengkritik ia akan meminggirkan kaum tertentu.

URA menekankan prinsip-prinsip yang telah digariskan terutamanya dalam memastikan tiada pihak yang akan tertindas dalam proses pembaharuan semula bandar.

Ia juga mengandungi peruntukan khas bagi melindungi hak dan kepentingan pemilik untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak pemilikan, serta proses dan prosedur pembaharuan semula bandar.

Selain itu, RUU berkenaan turut menyediakan exit plan atau Pelan Kontigensi Pembaharuan Semula Bandar (dalam bentuk penyediaan perundangan subsidiari iaitu Kaedah-Kaedah) bagi mengatasi masalah-masalah sekiranya suatu projek pembaharuan semula bandar itu tidak berjaya bagi menjaga hak dan kepentingan pelbagai pihak yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here