KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak perlu ‘melompat’ dengan tindakan Perdana Menteri yang mengarahkan Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya memberi kelonggaran bagi mempercepatkan peruntukan untuk projek tebatan banjir
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar berkata, arahan Anwar itu dapat menutup ruang elemen rasuah yang mungkin wujud sekaligus dapat menjimatkan wang kerajaan sehingga RM2 bilion.
Dakwa beliau, ia kerana projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion itu dibuat secara rundingan terus dan melibatkan kartel projek yang mengaut margin untuk dijadikan habuan rasuah.
“Rasuah ini berakar umbi, jadi kita perlu tembak pada akar atau isu permasalahannya. Untuk menyelesaikan rasuah ini, ia berkaitan dengan sistem dan jadi inisiatif yang perlu dibawa adalah dari pelbagai peringkat dan usaha menutup ruang-ruang dan banyak lubang.
“Ini yang dibuat Kerajaan Madani tapi orang jahat pula yang cuba membuka ruang ini. Kalau sebelum ini kita tengok perolehan proje tebat banjir berbilion ringgit dan dibuat tender rundingan terus.
“Tapi apa yang Datuk Seri (Anwar Ibrahim) buat masuk tender, boleh jimat RM1 bilion ke RM2 bilion dan ini mengecilkan ruang para pelobi dan kartel projek ini untuk ada margin untuk diberikan habuan sebagai wang rasuah projek.
“Sebab itu bila ditender balik, yang paling melompat pembangkang, Tuan Ibrahim Tuan Man yang katanya kenapa perlu tender balik sedang banyak projek loji rawatan air yang sakit, terbengkalai dan lewat di mana margin RM1 bilion hingga RM2 bilon yang menyamai bajet negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas muncul sebagai panelis pada program Dialog MG bertajuk Rasuah Berakar Umbi, Jangan Ingat Anak Muda Buta Tuli di ibu pejabat MalaysiaGazette di sini malam tadi.
Panelis lain yang terlibat adalah Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR), Muhammad Zaim Zulkifli Arif dan Ketua Penerangan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Muhammad Fakrurazzi Khairur Rijal.

Baru-baru ini, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tindakan Anwar mengarahkan Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya memberi kelonggaran bagi mempercepatkan peruntukan untuk projek tebatan banjir sebagai pelik.
Ini kerana, kata bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) itu, gesaan tersebut dibuat selepas Anwar pada 6 Disember 2022 mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta.
Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa hairan berhubung alasan dan justifikasi Anwar yang mana akan berlaku penjimatan RM2 bilion selepas enam projek tebatan banjir ditamatkan.
Beliau tertanya-tanya bagaimana Anwar boleh membuat kesimpulan yang kurang matang berkenaan penjimatan sedangkan projek-projek ini belum lagi bermula ketika itu.
Mengulas lanjut, Haziq berkata, komitmen tinggi Anwar menangani rasuah sejak memimpin Kerajaan Perpaduan apabila beliau sedia menggubal Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan dengan memfokuskan kepada pendanaan ketika kempen pilihan raya.
Malah tambah beliau, Perdana Menteri juga mengambil Langkah untuk memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang masih lagi dalam peringkat kajian.
Selain itu Anwar juga, kata Haziq, memberi jaminan akan meneliti kesan pelaksanaan cadangan untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen.
“Jadi berdasarkan kenyataan-kenyataan Perdana Menteri ini, jelas dari segi politic will itu ada cuma kalau kita lihat contoh di mana saya hendak berteki-teki tentang pemisahan Peguam Negara. Tahukah berapa akta yang perlu dipinda sekurang-kurangnya untuk memisahkan fungsi itu dan sumber terbuka adalah 19 akta termasuk Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi ini menunjukkan satu perubahan yang besar dan untuk memisahkan kedua-dua ini melibatkan perkhidmatan, perjawatan dan time line cukup jelas iaitu pertengahan tahun ini dan boleh tunggu sikit.
“Kemudian Akta Pendanaan Politik sebab dalam kempen-kempen politik yang paling miskin dan derita adalah Pakatan Harapan di mana sampai kami dimarahi penyokong. Kenapa belanja iklan sikit sangat? Sedang Perikatan Nasional boleh berjuta-juta,” katanya.

Pada tahun 2023, kerajaan pada tahun mengumumkan merujuk cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut menjelaskan, Akta Pendanaan Politik sepatutnya dibentang bersama Akta Lompat Parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu supaya ia dapat dilaksanakan secara bersama.
Namun, beliau berkata, perkara itu tidak dibuat kerana kebanyakan parti berasakan akta berkaitan lompat parti perlu diutamakan terlebih dahulu atas kesedaran tidak mahu Ahli Parlimen bertukar parti selepas pilihan raya. – MalaysiaGazette