PONTIAN – Seorang remaja perempuan meninggal dunia dipercayai dirempuh sebuah lori ketika turun dari bas dalam kejadian di Jalan Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di sini semalam.
Kejadian pukul 7.20 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia 13 tahun dipercayai baharu sahaja turun dari sebuah bas yang berhenti di bahu kiri jalan sebelum cuba melintas.
Bagaimanapun, sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima daripada orang awam pada pukul 7.45 petang.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau pegawai penyiasat, Inspektor Tong Siew Fen menerusi talian 010-209 0396.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” tambahnya. – MalaysiaGazette