Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Tuduhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian menerusi penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 2023 adalah tidak benar.

Sebaliknya Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP telah mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB itu dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Selain itu, kata beliau, KWSP juga telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah bagi tahun kewangan sama.

“Secara keseluruhan, sejak tahun 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta Kementerian Kewangan menjelaskan jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami oleh KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB serta bagaiaman keuntungan atau kerugian itu dilaporkan dalam penyata kewangan KWSP.

Menjelaskan lebih lanjut, Amir Hamzah berkata, penjualan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai KWSP oleh Jabatan Ekuiti pada 2023 di Bursa Malaysia adalah sebahagian daripada strategi dagangan aktif KWSP untuk memanfaatkan pergerakan harga saham dan menjana pendapatan pelaburan jangka pendek.

Jelasnya, saham MAHB telah dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.

“Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11/47 peratus turut menjadi faktor utama strategi ini,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baharu dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.

Katanya, sehingga pengumuman Tawaran (VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP.

Ujarnya, KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai Chinese wall yang merupakan amalan piawaian standard di kalangan GLIC dan institusi kewangan.

Di bawah protokol perintang maklumat, jelasnya, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP).

“Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya insider trading yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya.

Ujar beliau, sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ia boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik.

“Sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan.

“Apa-apa tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan KWSP, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast