TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengekalkan warisan sejarah dengan memulihara 26 bangunan berusia lebih 100 tahun di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, antara bangunan yang dipulihara serta dikategorikan sebagai bangunan warisan adalah Bangunan Suluh Budiman, Tadahan Utara, Tadahan Selatan, Rumah Za’ba, Rumah Pengetua, Rumah Tamu, dan Dewan Makan.
Menurutnya, universiti pendidikan tersebut memiliki banyak keistimewaan dari aspek sejarah, lokasi, pencapaian dan segala kemudahan sekali gus menarik perhatian masyarakat di dalam dan luar negara.
“UPSI berada di lokasi yang strategik yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan budaya, sejarah dan pendidikan selain menyaksikan keindahan Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City yang berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa.
“Berhampiran bangunan Fakulti Bahasa dan Komunikasi terdapat tiang yang mempunyai kesan tembakan peluru tentera komunis pada zaman darurat serta loceng agung yang digunakan oleh pelatih guru zaman Sultan Idris Training College (SITC).
“Bangunan Suluh Budiman yang dibina pada tahun 1922 dijaga dengan baik dan dijenamakan sebagai Muzium Pendidikan Nasional (MPN).
“Binaan tersebut terisi dengan pelbagai artifak pendidikan sejak zaman sebelum merdeka antaranya mesin taip, pakaian seragam sekolah danbuku yang menarik perhatian pengunjung terutamanya pelajar sekolah,“ katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Md Amin berkata, UPSI turut terpahat sebagai dalam peta sejarah perjuangan pendidikan Nusantara sejak zaman SITC yang melahirkan guru-guru Melayu yang menyemarakkan semangat nasionalisme menerusi persuratan atau penulisan kreatif.
“Sebagai institusi pendidikan yang memberi fokus dalam melahirkan pendidik atau guru, katanya, UPSI tetap berpegang pada prinsip mengekalkan akar budaya masyarakat Malaysia, malah mahu memartabatkan tulisan jawi iaitu aksara Bahasa Melayu yang semakin dilupakan.
“Sejarah juga melakarkan bahawa legasi UPSI bermula dari zaman SITC dan UPSI berasakan usaha pulihara sejarah kemerdekaan Nusantara.
“Justeru, generasi mahasiswa UPSI dan masyarakat hari ini tidak boleh melupakan sejarah silam yang besar dan bermakna apabila mengkaji peranan Pejabat Karang Mengarang dan Pendeta Za’ba sebagai intelektual Melayu yang menjadi sebutan dan kebanggaan tanah air,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, untuk menikmati keindahan dan beriadah, masyarakat dialu-alukan menjelajah kampus bersama keluarga, berjalan kaki melihat tarikan, malah turut disediakan kemudahan lawatan secara maya menerusi UPSI 360 Dynamics VR Tour
“UPSI ini juga mempunyai beberapa tarikan terbaharu seperti UPSI Superbowl dan UPSI Adventure Park serta UPSI Glamping Park dijangka beroperasi April ini yang pasti akan menjadi tarikan pengunjung untuk menikmati keindahan dan ketenangan,“ jelasnya – MalaysiaGazette