Prof Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero

KUALA LUMPUR – Malaysia sentiasa dilihat sebagai anggota penting dan menjadi negara pemimpin dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN sejak ditubuhkan pada 8 Ogos 1967.

Peranan signifikan Malaysia termasuk cadangan penubuhan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) pada 1971 serta idea mewujudkan Piagam ASEAN pada 2000 sentiasa diingati dan dihargai kerana membantu mewujudkan kemakmuran dan kesatuan di Asia Tenggara.

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero, Malaysia terkenal sebagai negara yang mengutamakan keamanan dan kebersamaan anggota ASEAN.

“Ada kegusaran piagam baru menggugat norma-norma ASEAN lama yang dipegang kukuh, termasuk polisi tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara Asia Tenggara. Malaysia ambil peluang dengan menegaskan ASEAN perlu satu rangka kerja baharu.

“Kita boleh melihat kepimpinan Malaysia yang pragmatik dengan mencadangkan sesuatu bersesuaian pada masa itu dan pada masa sama tidak meninggalkan norma sedia.

“Ini telah diperakui banyak negara termasuk Singapura yang menyatakan sekiranya cadangan datang daripada negara lain, mungkin ia hanya tinggal cadangan,” katanya.

Ketika awal penubuhannya, hanya lima negara menjadi anggota namun dengan semangat kebersamaan walaupun ditentang oleh negara barat, Malaysia berjaya membawa masuk kesemua 10 negara Asia Tenggara ke dalam ASEAN.

Kini tinggal Timor Laste yang merdeka pada 2002 belum menjadi ahli namun melalui kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia memegang kepengerusian ASEAN diyakini membawa masuk negara bongsu Asia Tenggara itu menjadi anggota ke-11 dan terakhir.

“Kenapa Malaysia bersungguh-sungguh memastikan Timor Laste sebagai agenda Kepengerusian ASEAN kerana ia mencerminkan usaha bagi memastikan bahawa ASEAN ini adalah inklusif melibatkan semua negara. Ini sejajar dengan agenda kebersamaan yang dibawa Perdana Menteri.

“Negara-negara Asia Tenggara percaya Malaysia akan terus memperjuangkan kesatuan dan kemakmuran ASEAN. Penglibatan kesemua negara di Asia Tenggara penting untuk bersaing dengan negara-negara yang mempunyai prospek yang lebih besar,” katanya.

Dengan hampir 700 juta penduduk di Asia Tenggara dan jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.8 trilion pada 2023 peluang meneroka ekonomi dan perdagangan antara negara boleh dicapai dalam kalangan negara anggota.

Siti Darwinda menjelaskan, ketika ini tiada pemimpin di Asia Tenggara yang mempunyai pengalaman luas dan hubungan antarabangsa yang lebih baik berbanding Anwar.

Kebijaksanaan dan keberanian Perdana Menteri serta kepengerusian ASEAN diyakini Malaysia dapat meredakan ketegangan antara negara anggota dengan China di Laut China Selatan.

“Mereka percaya Malaysia sangat mementingkan semangat inklusif, kebersamaan dan kemakmuran ekonomi. Malaysia mahu mencapai matlamat dengan penglibatan kesemua negara ASEAN untuk rantau ini bersaing dengan negara-negara yang lebih besar.

“Kalau kita lihat di Asia Tenggara tidak ada negara yang mempunyai pemimpin berkarisma dan mempunyai kebijaksanaan selain Anwar. Probowo walaupun sudah lama dalam politik, tapi di peringkat antarabangsa kelebihan ada pada Anwar yang sudah dikenali dunia. Thailand pula baru bertukar perdana menteri,” jelasnya.

Tambah beliau, tema Keterangkuman dan Kemampanan yang dibawa Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN menunjukkan bahawa geo-politik sangat penting.

Sekiranya Malaysia dapat memastikan negara anggota mempunyai suara yang kuat di persada dunia, ia akan meningkatkan imej Malaysia.

“Kalau Malaysia berjaya membawa agenda ASEAN berhadapan dengan isu Laut China Selatan dan pada masa sama mendapat manfaat kerjasama ekonomi dengan China, ia merupakan peluang yang baik untuk Malaysia menjadi juara dalam isu geo-politik,” kata Siti Darwinda yang yakin tanggungjawab itu mampu digalas oleh Perdana Menteri.

Siti Darwinda juga yakin kepengarusian ASEAN membolehkan Malaysia melaksanakan pelbagai agenda bagi kemakmuran negara-negara di Asia Tenggara.

Ini termasuk agenda memuktamatkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) tahun ini untuk mempersiapkan rantau Asia Tenggara untuk pendigitalan.

Malaysia katanya, sudah tentu tidak akan meminggirkan negara yang ketinggalan dalam teknologi seperti Kemboja, Laos dan Myanmar dengan memastikan limpahan ekonomi akan dinikmati bersama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here