Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf keluar dari perkarangan Mahkamah bersama-sama ahli keluarga selepas selesai perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 21 FEBRUARI 2025.

PETALING JAYA – Dua saksi kanak-kanak perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya,  Kamarul Iman Ahmad Sapian berkata, salah seorang saksi membuat pengecaman wajah Ismanira Abdul Manaf sebagai ibu Zayn Rayyan.

Uarnya, pengecaman wajah dibuat di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Turut berlangsung hari ini prosiding pemeriksaan balas semula.

Menurut Kamarul Iman, dua kanak-kanak tersebut memaklumkan mahkamah sering melihat Zayn Rayyan bermain di taman di kawasan perumahannya.

Terdahulu, prosiding hari ini berlangsung secara tertutup kerana saksi kanak-kanak dikategori sebagai saksi terlindung.

Sebagai rekod, kedua-dua kanak-kanak berkenaan antara enam saksi yang dibawa ke lokasi kejadian di  Apartmen Idaman, Damansara Damai semalam.

Ia bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci di kawasan pencarian kehilangan Zayn Rayyan.

Tinjauan berkenaan bagi saksi-saksi pendakwaan yang telah memberikan keterangan, mengenal pasti tempat mayat Zayn Rayyan ditemukan pada waktu malam 6 Disember 2023 serta kawasan persekitarannya.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah tebing dan laluan sungai, belukar serta kawasan takungan air yang dinyatakan oleh saksi-saksi pendakwaan ketika memberi keterangan.

Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Pendakwaan dibuat pada 13 Jun tahun lalu. Bagaimanapun, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Perbicaraan disambung pada 11 Mac depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here