KEPALA BATAS – Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, yang maut dipercayai tercekik gula-gula gummy berbentuk mata di sini semalam.
Allahyarham Mohamad Fahmi selamat dikebumikan pukul 3.20 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga di sini.
Jenazah disolatkan di masjid bersebelahan tanah perkuburan tersebut jam 2.45 petang yang dihadiri lebih 150 jemaah terdiri daripada ahli keluarga serta penduduk setempat.
Terdahulu jenazah pelajar tahun empat dibawa pulang ke rumah neneknya di kampung Permatang Binjai sebaik selesai urusan bedah siasat di Jabatan Forensik Pulau Pinang kira- kira jam 12.51 tengah hari.
Mohamad Fahmi Hafiz dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya semalam kira-kira jam 11 malam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang.
Terdahulu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang menjalankan siasatan berhubung keselamatan produk gula-gula gummy berbentuk mata yang dipercayai menjadi punca kepada kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun semalam.
Jelas beliau, tindakan susulan akan diselaraskan di peringkat ibu pejabat melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan bagi memastikan segala prosedur keselamatan dipatuhi dan langkah pencegahan diambil untuk mengelakkan kejadian serupa di masa hadapan. – MalaysiaGazette