SHAH ALAM – Polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang disyaki terlibat dalam kes cubaan rogol seorang kanak-kanak di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali dekat sini yang tular pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, suspek merupakan seorang penganggur telah ditahan sekitar tengah hari tadi dengan bantuan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
“Dia akan direman dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor hari ini.
Hussein berkata, kejadian berlaku sekitar waktu subuh ketika ibu mangsa membawa dua anaknya ke sebuah surau berdekatan.
Mangsa dikatakan telah menjadi sasaran secara rambang oleh suspek yang tidak mengenalinya sebelum kejadian.
“Kami juga masih menyiasat dakwaan bahawa suspek memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mengesahkan sama ada dokumen itu benar-benar miliknya atau individu lain,” tambahnya.
Sebelum itu seorang lelaki disyaki mencabul seorang murid sekolah perempuan dalam sebuah masjid di Batang Kali, Selangor pagi tadi.
Perbuatan jijik lelaki itu tular menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.
Berdasarkan video yang tular, seorang lelaki datang ke arah kanak-kanak perempuan yang sedang sujud solat Subuh.
Dalam rakaman itu, lelaki itu berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk dari belakang budak itu dan membawanya keluar dari ruangan solat wanita.
Selepas dibawa ke ruangan lain, kelihatan kanak-kanak itu bergelut menolak tindakan meraba, memeluk dan cuba melondehkan seluarnya.
Kemudian, lelaki itu melarikan diri selepas kanak-kanak berkenaan bertindak melawannya.- MalaysiaGazette