KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang warga asing yang juga Orang Kurang Uoaya (OKU) fizikal kerana menjual tisu di jalan raya sehingga mengganggu pengguna dan kelancaran trafik di persimpangan lampu isyarat Puchong Jaya semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, pihaknya telah menahan lelaki berusia 49 tahun itu susulan aduan awam yang diterima sekitar 2 petang.
“Hasil siasatan mendapati suspek telah masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Beberapa barangan termasuk tisu, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM116 turut dirampas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Modus operandi digunakan suspek adalah taktik memperlihatkan dirinya sebagai OKU fizikal bagi meraih simpati orang ramai.
“Satu saman di bawah Peraturan 10A(1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya turut dikenakan kepada suspek kerajan menjual barangan di persimpangan atau di atas jalan raya.
“Selain itu, lelaki berkenaan juga telah ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tambahnya.
Anbalagan turut memberi amaran bahawa penjualan barangan di persimpangan atau di atas jalan adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. – MalaysiaGazette