GOPENG – Seorang pemandu lori tiga tan maut selepas melanggar belakang sebuah lori lain dalam kemalangan di Kilometer 300.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar 5.54 pagi.
Menurutnya, seramai 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan Tapah digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.
“Ketika jentera tiba di lokasi kejadian kita mendapati seorang lelaki berusia 43 tahun iaitu pemandu lori tiga tan berada dalam keadaan tersepit.
“Anggota bertindak melaksanakan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan menyelamat hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya 7.55 pagi. – MalaysiaGazette