Pemandu lori yang sanggup terjun dari kenderaan dipandu dan membiarkan ia merempuh sebuah rumah demi mengelak dicekup pihak berkuasa Rabu lalu disahkan positif dadah.

MELAKA – Pemandu lori yang sanggup terjun dari kenderaan dipandunya dan membiarkan ia merempuh sebuah rumah demi mengelak dicekup pihak berkuasa pada Rabu lalu telah disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki berusia 27 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketika ditahan, suspek mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan hasil ujian air kencing juga mengesahkan suspek positif syabu.

“Bagaimanapun tiada dadah ditemukan dalam simpanan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Lori dipandu suspek merempuh sebuah rumah teres di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya, kira-kira 4.30 petang Rabu lalu

Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan suspek mengelak daripada ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sanggup membiarkan lori dipandunya merempuh sebuah rumah teres di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu.

Terdahulu, pasukan itu mengambil masa hampir satu jam mengejar suspek sejauh 25 kilometer ketika cuba menahan
lori lima tan muatan bahan binaan itu di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA).

Sepanjang aksi mengejar, suspek memandu secara berbahaya termasuk melawan arus, melanggar lampu isyarat sehingga insiden itu tular di media sosial menerusi beberapa klip video yang dirakam orang ramai.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

Sebaik tiba Taman Krubong Jaya, pemandunya tiba-tiba bertindak nekad melompat keluar dari lori yang sedang bergerak membiarkannya merempuh sebuah rumah mengakibatkan pagar, tembok rumah dan sebuah kenderaan rosak.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian kejadian itu dan lelaki itu berjaya ditangkap dengan bantuan penduduk setempat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Semakan JPJ mendapati lori berkenaan mempunyai lapan saman lampau yang sudah diselesaikan.

Namun lima notis saman baharu dikeluarkan terhadap pemandu atas kesalahan seperti tiada Lesen CDL (Lesen Memandu Kompeten) dan GDL (Lesen Memandu Barangan), tidak mematuhi lampu isyarat merah serta memandu secara cuai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here